Penduduk Gaza seperti hidup dalam neraka
KUALA TERENGGANU - Warga Palestin yang tinggal di negara ini menganggap episod peperangan yang berlaku kali ini mungkin akan terus berlarutan dan mereka pasrah terhadap apa jua kemungkinan yang bakal berlaku.
Rabah Y R Abdaljawad, 45, berkata, beberapa ahli keluarganya telah terkorban sejak tercetusnya perang antara Palestin-Israel pada 7 Oktober tahun lalu.
Menurutnya, peperangan kali ini merupakan episod peperangan yang tidak adil, pembunuhan beramai-ramai serta perang agama.
“Perang ini akan berterusan kerana Zionis tidak menemui sesiapa yang mampu menghalang mereka dan seluruh dunia sedang tidur nyenyak.
"Dunia barat dan Amerika Syarikat menyokong Israel dengan segala kekuatan sokongan tanpa had mereka.
“Penduduk Gaza kini seolah hidup dalam ‘neraka’ lenyap segala aspek kehidupan, kematian mengejar mereka di mana-mana, setiap saat kita kehilangan ramai saudara dan sahabat yang kini dikerah untuk ke tengah Gaza.
“Kami hanya menunggu keredaan daripada ALLAH SWT. Sebagaimana ia bermula secara tiba-tiba, ia akan berakhir dengan tiba-tiba, dengan kehendak ALLAH sahaja,” ujarnya yang merupakan penuntut peringkat doktor falsafah (PhD) jurusan kewangan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Menurut Rabah, penderitaan dialami penduduk Gaza turut dirasai meskipun dia dan keluarganya kini berada di Malaysia.
“Sehingga saat ini terdapat amaran daripada tentera Israel untuk memindahkan penduduk yang tinggal di utara Gaza dan bergerak ke selatan.
“Mereka mendakwa bahawa selatan adalah selamat kerana tentera akan memusnahkan semua yang tinggal di utara dengan alasan kehadiran pejuang penentangan di situ.
“Ia bertujuan untuk merealisasikan perancangan Yahudi yang mahu memusnahkan segala aspek kehidupan demi memindahkan dan menghimpunkan rakyat Palestin.
“Ini merupakan perancangan Zionis dan hari ini ia dilaksanakan oleh kerajaan Zionis yang paling ekstrem kerana tiada kuasa besar yang bertindak untuk menghalangnya,” ujar beliau.
Rabah berkata, sebelum ini dia dan keluarganya terpisah sebelum mereka berjaya tiba di negara ini pada Julai lalu.
Katanya, dia bersyukur kerana dapat tinggal di negara ini yang aman walaupun memiliki masyarakat berbilang kaum dan agama.
“Saya menganggap Malaysia rumah kedua saya malah kebanyakan orang di sini mesra, menyokong dan menyayangi rakyat Palestin.
“Paling penting ialah Malaysia adalah sebuah negara Islam walaupun memiliki kepelbagaian budaya, namun tiada isu-isu perkauman yang ekstrem, sesiapa sahaja akan berasa seperti berada di tanah air sendiri apabila berada di sini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!