Tak jadi kahwin: Lelaki juga berhak menangis

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

CERITA batal kahwin di saat-saat akhir bukan cerita baru lagi. Sejak dulu pun dah banyak kali terjadi.

Cuma bezanya minggu lalu hangat diperkatakan apabila seorang lelaki telah meneruskan majlis kenduri ‘perkahwinannya’ walaupun tiada pernikahan berlangsung.

‘Pengantin’ lelaki tersebut turut memberikan ucapan sepatah dua kata dalam majlis kendurinya itu. Seperti dijangka, ramai tetamu yang hadir turut merakamkan momen tersebut.

Lalu apabila ramai yang berkongsi di media sosial, ia menjadi tular dan mendapat respons daripada banyak pihak.

Ada yang memberikan kata-kata semangat namun ada juga segelintir yang memberikan pandangan berbeza.

Antaranya ialah rakan Merak Jalanan sendiri yang berpendapat bahawa lelaki tidak sepatutnya berlebih-lebihan, lelaki harus kuat, lelaki harus kekal dengan ciri anak jantan dan macam-macam lagi.

Namun bagi Merak Jalanan, seorang lelaki juga berhak untuk menangis, bersedih, meluahkan apa-apa yang bersarang di dalam hati.

Luahkan antara jalan terbaik jika itulah ubat untuk memberi kelegaan kepada diri sendiri.

Artikel Berkaitan:

Banyak kes penyakit mental adalah kerana si polan terlalu banyak memendam di dalam hati, tidak melepaskan apa yang terbuku dan akhirnya lama kelamaan membawa kemudaratan yang tidak disangka-sangka.

Sekadar berkongsi pengalaman satu kisah benar, Merak Jalanan pernah mempunyai seorang rakan yang kecundang akibat cinta sehingga membuatkan dia hilang kewarasan.

Merayau-rayau ke hulu ke hilir mencari gadis yang dipujanya dahulu, kini dan sehingga ke akhir hayatnya.

Oleh itu, jika anda mempunyai kisah yang hampir sama dengan ‘pengantin’ lelaki tersebut atau rakan Merak Jalanan itu, jangan malu untuk berkongsi perasaan dengan sesiapa dan teruslah kuat.

Kumbang bukan seekor, bunga bukan sekuntum. Jika tiada jodoh di dunia, pasti bertemu bidadari di ‘sana’ nanti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!