Beri perhatian elaun COLA pekerja swasta - MTUC

Elaun COLA sangat penting dalam membantu pekerja menghadapi tekanan kos hidup yang semakin meningkat terutama di kawasan bandar. Gambar kecil: Mohd Effendy
Elaun COLA sangat penting dalam membantu pekerja menghadapi tekanan kos hidup yang semakin meningkat terutama di kawasan bandar. Gambar kecil: Mohd Effendy
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran menguatkuasakan pelaksanaan elaun kos sara hidup (COLA) bagi pekerja di sektor swasta agar selari dengan usaha memastikan peningkatan gaji pekerja terlibat seiring dengan produktiviti dan keuntungan diperoleh syarikat konglomerat.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, pelaksanaan itu dijangka mampu direalisasikan sekiranya Belanjawan 2025 turut menyediakan insentif kepada majikan yang mengambil inisiatif meningkatkan gaji pekerja serta memperbaiki keadaan kerja, seterusnya menaikkan taraf hidup semua pekerja di negara ini.

Menurutnya, elaun COLA sangat penting dalam membantu pekerja menghadapi tekanan kos hidup yang semakin meningkat terutama di kawasan bandar.

“Penguatkuasaan elaun COLA secara menyeluruh di sektor swasta bukan sahaja meringankan beban kos hidup pekerja tetapi juga akan mewujudkan kesaksamaan dalam perlindungan kebajikan antara sektor awam dan swasta.

“Elaun COLA ini juga akan meningkatkan motivasi dan produktiviti pekerja yang seterusnya memberi manfaat kepada majikan dan ekonomi negara secara keseluruhan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan lebih tegas dalam memastikan sektor swasta terutama konglomerat besar mencatat keuntungan tinggi menunaikan tanggungjawab sosial mereka dengan memberi ganjaran yang wajar kepada pekerja.

Dalam masa sama, tegas beliau, penekanan terhadap pentingnya pelaksanaan Pelan Latihan dan Sistem Upah Berasaskan Produktiviti (PLWS) secara menyeluruh di semua sektor wajar diberi perhatian demi membantu memastikan hubungan yang lebih adil antara produktiviti dan ganjaran diterima oleh pekerja.

“Ia juga akan memberi insentif kepada pekerja untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti sambil memastikan mereka mendapat bahagian yang adil daripada hasil peningkatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Dengan cara ini, PLWS dapat membantu mengurangkan ketidakseimbangan gaji dan memberi impak positif kepada ekonomi negara secara keseluruhan,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!