Beli buku baharu ganti koleksi rosak, hilang akibat banjir

Salah seorang pengunjung bertanya kepada petugas jualan gudang mengenai buku yang diminati.
Salah seorang pengunjung bertanya kepada petugas jualan gudang mengenai buku yang diminati.
A
A
A

SHAH ALAM - Bencana banjir yang melanda Bentong, Pahang pada November 2021 mendorong seorang pembaca tegar untuk hadir ke Jualan Gudang Karangkraf 2024 bagi mendapatkan semula koleksi bahan bacaan yang rosak dan hilang.

Pesara, Mat Yasin Ismail, 57, berkata, sewaktu kejadian, dia baru sahaja berpindah ke rumah tersebut dan belum sempat untuk menyusun ribuan koleksinya di rak buku.

“Saya dulu simpan banyak buku, terutama koleksi Jalil Ali dan Ustaz Hasrizal Jamil. Tapi selepas banjir, banyak buku yang saya simpan rosak dan hilang. Semua buku agama dan tafsir al-Quran yang saya sayang turut hilang begitu sahaja.

“Tak ingat berapa jumlah sebenar koleksi tapi boleh saya katakan cukup untuk lima almari jika disusun semula. Kalau ikutkan, saya berharap masih ada lagi koleksi buku oleh penulis tersebut tapi sudah tiada mungkin sebab (keluaran) sudah lama,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Dari kiri; Mat Yasin, Nor Qistina Maria, Azizan dan Lamin.
Dari kiri; Mat Yasin, Nor Qistina Maria, Azizan dan Lamin.

Bagi pekerja swasta, Nor Qistina Maria Abdullah, 48, dia tertarik untuk berkunjung ke Jualan Gudang Karangkraf 2024 kerana mahu membeli buku pada harga rendah.

Ujarnya, kebanyakan novel yang dijual menggamit semula kenangan semasa menuntut di universiti dahulu dan dia mengambil keputusan untuk memborong sebanyak mungkin koleksi yang ada.

Pengunjung meneliti koleksi buku solat yang terdapat di Jualan Gudang Karangkraf 2024 pada Ahad.
Pengunjung meneliti koleksi buku solat yang terdapat di Jualan Gudang Karangkraf 2024 pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

“Hari ini saya beli 12 naskhah, memang dulu ada banyak buku tapi saya sudah berikan kepada rakan-rakan. Jadi, saya nak tambah semula koleksi.

“Saya juga cari novel yang sesuai untuk anak tapi tak jumpa pula. Dia pun minat membaca, sebab dari kecil saya terapkan untuk membaca,” tambahnya.

Penjawat awam, Lamin Mugin, 47, memberitahu, pelbagai jenis bahan bacaan yang sesuai untuk setiap peringkat umur memudahkan dia dan isteri membuat pilihan.

Pertandingan mewarna memberi peluang kepada kanak-kanak menunjukkan bakat masing-masing.
Pertandingan mewarna memberi peluang kepada kanak-kanak menunjukkan bakat masing-masing.

Menurutnya, pendedahan kepada anak-anak akan kepentingan membaca buku adalah penting kerana ia membantu ibu bapa untuk jauhkan mereka daripada gajet.

“Ini juga salah satu cara untuk jauhkan anak daripada gajet, sebab kalau bagi telefon dia akan buka benda lain, lagi pun pembelajaran menerusi buku lebih mudah.

“Alhamdulillah, banyak juga yang saya beli dan apa yang saya boleh kata harga yang ditawarkan adalah berpatutan. Saya harap jualan gudang ini diadakan lagi dengan lebih meriah pada masa akan datang,” ulasnya.

Penjawat awam, Azizan Abrahim, 38, pula berkata, ini kali pertama dia dan isteri datang ke Jualan Gudang Karangkraf dan sangat berpuas hati dengan tawaran harga, bahan bacaan dan aktiviti yang diadakan.

Tambahnya, aktiviti seperti pertandingan mewarna memberi peluang kepada anak-anak untuk melakukan aktiviti kreatif sementara menunggu ibu bapa membeli buku.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!