Hizbullah serang Haifa, akibatkan kemalangan jiwa
BEIRUT/BAITULMAQDIS - Hizbullah menyerang sebuah pangkalan tentera Israel berhampiran bandar utara Haifa pada malam Ahad dan menyebabkan kemalangan jiwa, lapor Xinhua memetik kenyataan kumpulan itu.
"Dalam tindak balas terhadap serangan ke atas orang awam dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Zionis, kami melancarkan serangan peluru berpandu 'Fadi 1' ke arah pangkalan Carmel di selatan Haifa pada malam Ahad.
"Kami akan terus bersiap sedia untuk mempertahankan Lubnan dan rakyatnya, dan tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan tugasnya bagi menghalang musuh daripada berterusan melakukan pencerobohan," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, tentera Israel memaklumkan bahawa selepas siren berbunyi lewat Ahad di kawasan Galilee, kira-kira 15 peluru berpandu dikenal pasti melintasi sempadan dari Lubnan.
Beberapa peluru berpandu berjaya dipintas manakala yang lain jatuh di kawasan berkenaan.
Beberapa kemalangan jiwa dilaporkan akibat serangan roket di bandar Haifa dan Tiberias, lapor media Israel.
Sementara itu, sekurang-kurangnya lapan orang dilaporkan dipindahkan ke Kampus Kesihatan Rambam di Haifa untuk mendapatkan rawatan perubatan selepas serangan roket itu.
Sejak 23 September, tentera Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Lubnan susulan ketegangan dengan Hizbullah. - Bernama/Xinhua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!