Sorok daun ketum di kandang lembu
PADANG BESAR - Kegiatan penyeludupan daun ketum yang dipercayai menjadikan kandang lembu sebagai tempat menyimpan bahan terlarang itu terbongkar selepas tertangkapnya dua lelaki di Kampung Sena di sini kelmarin.
Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, bertindak atas maklumat menerusi Op Wawasan kira-kira jam 10.45 malam, sepasukan anggota PGA mengesan sebuah kenderaan jenis Naza Citra dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di Jalan Felda Lubuk Sireh.
Menurutnya, setelah diekori, akhirnya kereta terbabit berhenti di sebuah kandang lembu di Kampung Sena.
"Serbuan kemudian dibuat dan berjaya menahan pemandu kereta itu bersama seorang lagi rakannya di kandang terbabit.
"Pemeriksaan lanjut di kandang lembu itu menjumpai 76 guni mengandungi daun ketum seberat 1,800 kilogram dianggarkan bernilai RM310,200," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, turut dirampas adalah dua alat penimbang, dua buah kenderaan jenis Naza Citra dan Mitsubishi Pajero serta dua telefon bimbit.
Katanya, kedua-dua suspek lelaki berusia 23 dan 37 tahun telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!