Ke mana duit zakat dibelanjakan?

Peningkatan populasi tanpa diiringi pembangunan infrastruktur sosial dan sokongan yang mencukupi akan menambah tekanan kepada penduduk setempat. Foto hiasan/Bernama
Peningkatan populasi tanpa diiringi pembangunan infrastruktur sosial dan sokongan yang mencukupi akan menambah tekanan kepada penduduk setempat. Foto hiasan/Bernama
A
A
A

IBARAT sudah jatuh ditimpa tangga, itulah nasib yang menimpa sesetengah golongan masyarakat miskin yang tinggal di kawasan-kawasan bandar.

Hati Merak Jalanan amat sayu apabila membaca kisah-kisah hidup mereka yang menderita dan ditimpa pelbagai masalah.

Apabila kes-kes mereka ini tular di media-media sosial, maka ramai yang bertanya mengapa golongan ini tidak dibantu? Di mana peranan pusat zakat yang mengutip ratusan juta ringgit setiap tahun?

Sepatutnya, duit zakat yang berjaya dikutip itu digunakan sepenuhnya untuk membantu umat Islam yang memerlukan, dan bukan sekadar berbangga dengan pengumuman kejayaan kutipan setiap tahun.

Apa yang Merak Jalanan hendak tekankan ialah masalah miskin terutama di bandar pada masa ini mempunyai impak besar kepada komuniti.

Urbanisasi dan migrasi menjadi faktor utama peningkatan kemiskinan bandar di mana pertumbuhan ekonomi menarik ramai warga luar termasuk dari luar Selangor, berhijrah ke bandar-bandar di negeri ini.

Peningkatan populasi tanpa diiringi pembangunan infrastruktur sosial dan sokongan yang mencukupi akan menambah tekanan kepada penduduk setempat.

Yang pertama ialah akses kepada keperluan asas menjadi semakin mahal bagi keluarga berpendapatan rendah. Kedua ialah masalah kesihatan dan ketiga, isu sosial meningkat dalam komuniti turut terjejas.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan data semasa, jumlah penduduk di Selangor sahaja berjumlah 6.99 juta orang dan kadar kemiskinan yang direkodkan ialah 1.2 peratus.

Dalam konteks Selangor pada ketika ini, Lembaga Zakat Selangor (LZS) sedang menyantuni 68,154 keluarga asnaf fakir dan miskin. Dalam jumlah itu, sebanyak 61.7 peratus atau 41,818 keluarga daripadanya merupakan asnaf yang tinggal di bandar.

LZS mengklasifikasikan kemiskinan bandar sebagai golongan fakir dan miskin (rata-rata daripada B40) yang mendiami wilayah populasi berkepadatan tinggi dan berhadapan dengan cabaran kos sara hidup tinggi iaitu di empat daerah bersempadan dengan Kuala Lumpur; Petaling, Klang, Hulu Langat dan Gombak.

Jadi Merak Jalanan membuat sedikit semakan dengan pihak LZS yang diberi tanggungjawab untuk mengutip dan mengagihkan zakat oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tentang inisiatif mereka membantu golongan miskin di Selangor termasuk mereka yang tinggal di kawasan bandar.

Difahamkan sejak 1994, LZS telah mengagihkan lebih RM11 bilion kepada ribuan asnaf melalui skim bantuan lima program utama iaitu sosial, pendidikan, ekonomi, insan dan institusi agama.

Pada tahun 2023, jumlah yang diagihkan ialah RM1.15 bilion dan daripada jumlah itu sahaja RM777 juta dibelanjakan untuk program pembangunan sosial.LZS sebagai institusi yang diberi kuasa untuk mengutip dan mengagihkan zakat di Selangor dengan misi meningkatkan keberkesanan agihan zakat.

Jadi fokus utama LZS untuk menyelesaikan isu kemiskinan bandar yang semakin meningkat, dengan anggaran lebih 61 peratus asnaf fakir dan miskin berada di kawasan bandar.

Kaedah untuk mengenal pasti asnaf ialah dengan menerusi kaedah haddul kifayah yang merujuk kepada had atau paras minimum keperluan asas yang diperlukan oleh seseorang individu atau keluarga untuk hidup dengan selesa dan mencukupi, berdasarkan kos sara hidup semasa di negeri tersebut.

Jika pendapatan atau kemampuan di bawah haddul kifayah, mereka layak terima bantuan zakat. Haddul kifayah ini ditetapkan secara berkala dan disesuaikan dengan perubahan kos sara hidup di Selangor.

Merak Jalanan turut diberitahu, sebanyak RM229 juta telah diagihkan pada tahun 2023 untuk bantuan kewangan bulanan kepada 50,000 keluarga dan RM144 juta untuk bantuan perumahan kepada 21,000 keluarga.

Sebanyak RM115 juta untuk bantuan perubatan dan dialisis kepada 11,000 individu dan RM80 juta untuk bantuan pendidikan iaitu 33,000 individu.

LZS bukan sahaja memberi tumpuan kepada bantuan kewangan semata-mata, tetapi menyimbangkan dengan bantuan berbentuk pembangunan.

Ia sebagai inisiatif jangka panjang seperti pembangunan kerjaya, pendidikan, keusahawanan dan sebagainya bertujuan untuk memperkasakan asnaf ahar mereka mempunyai kemahiran dan sumber yang cukup untuk keluar daripada kemiskinan secara berterusan.

LZS juga menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk agensi awam dan sektor swasta untuk membincangkan isu-isu kemiskinan serta melaksanakan kolaborasi dalam menangani cabaran kritikal seperti perumahan, pendidikan, dan pembangunan kemahiran.

CABARAN LZS

Cabaran LZS adalah peningkatan jumlah asnaf terutama di kawasan bandar dan bagaimana LZS dapat menyantuni dengan memenuhi keperluan asnaf di bandar ini.

Walaupun jumlah agihan zakat meningkat, namun dalam masa sama jumlah asnaf dan permohonan zakat turut meningkat.

Jadi LZS perlu giat sebarkan dakwah memastikan masyarakat terus menunaikan kewajipan berzakat untuk sama-sama membantu menampung keperluan asnaf ini.

Demografi pada masa ini iaitu lebih 61 peratus keluarga asnaf adalah di bandar (lebih kurang 40,000 keluarga asnaf).

Turut menjadi cabaran besar ialah dari segi psikologi golongan rentan dan bagaimana hendak pastikan bantuan yang disalurkan ini dapat menguatkan mereka, bukan melemahkan.

Bagaimanapun, untuk itu, LZS menyediakan peluang kepada golongan rentan untuk meningkatkan kemahiran diri, mereka boleh menjadi lebih berdikari dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada bantuan zakat.

Jadi secara dasarnya, haruslah difahami bahawa bantuan yang diberikan bukanlah untuk selama-lamanya tetapi yang lebih penting ialah penerima dapat berdiri di atas kaki sendiri dan hidup seperti insan biasa.

Kesimpulannya sejak 30 tahun lalu, LZS telah memainkan peranan yang begitu besar untuk membantu umat Islam terutama di Selangor yang bukan telah memperkasa pengurusan zakat, memaksimakan kutipan zakat dan meningkatkan keberkesanan agihan zakat.

Sehingga kini, LZS telah mempunyai lebih 400,000 pengeluar zakat dan menyantuni lebih 350,000 penerima di Selangor sepanjang tahun 2023.

Dengan ini, Merak Jalanan berharap agar segala persoalan mengenai tugas dan tanggungjawab LZS terjawab dan terus diberikan kekuatan untuk melaksanakan misi mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!