Warga emas kerah keringat jaga empat cucu
KOTA BHARU - Seorang warga emas di Kampung Batu 11, Binjai, Ketereh di sini terpaksa mengerah keringat menjaga empat cucu selepas anaknya tidak lagi dapat bekerja akibat masalah tulang.
Lebih menyedihkan, Halijah Mamat, 75, turut mengalami kencing manis, darah tinggi dan sakit saraf menyebabkan pergerakannya terbatas.
Menurut Halijah, dia mengambil alih menjaga kesemua cucunya yang berusia antara lima hingga 18 tahun sejak lapan tahun lalu selepas anak lelakinya, Abdul Mukmin Hassan, 45, terjatuh pokok rambutan.
"Saya akan terus menggagahkan kudrat menjaga mereka walaupun tidak sihat dan memerlukan rehat," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Ahad.
Halijah juga tidak dapat menolak permintaan cucu sulungnya, Mohd Aiman Firdaus, 18, dan kedua Nor Amani Syamimi, 13, yang mahu bekerja bagi membantu keluarga.
"Mohd Aiman Firdaus tidak mahu menyambung pelajaran selepas mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala adiknya akan bekerja selepas pulang dari sekolah.
"Kami tidak dapat menghalang kerana Nor Amani Syamimi nekad mahu bekerja sebagai pembantu kedai sejak usia sembilan tahun dengan upah RM15 sehari untuk menampung perbelanjaan persekolahan," katanya.
Halijah yang menerima wang bulanan sebanyak RM600 daripada Majlis Agama Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bersyukur kerana dapat membelanjakan wang itu untuk membeli barangan harian.
"Kadang-kadang saya berikan wang itu untuk keperluan Abdul Mukmin kerana dia tidak menerima sebarang bantuan," katanya.
Sementara itu, Abdul Mukmin berkata, pergerakannya terhad dan tidak boleh melakukan kerja-kerja berat kerana tulang selangka dan tulang belakangnya tidak lagi kuat selepas insiden berkenaan.
Tambahnya, kejadian berlaku lapan tahun lalu ketika dia mengambil upah memetik rambutan.
"Saya terpaksa memanjat pokok setinggi lebih tiga meter untuk memetik rambutan sebelum terjatuh dan mengalami patah tulang belakang," katanya.
Abdul Mukmin memberitahu terpaksa dirawat selama dua minggu di Hospital Raja Perempuan Zainab II.
Hidupnya juga berubah selepas berpisah dengan isteri empat tahun lalu dan kekuatannya kini bergantung kepada ibu dan anak-anak.
"Sebelum ini saya melakukan kerja-kerja kampung untuk menyara kehidupan kami sekeluarga," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga keluarga ini boleh menghubungi Abdul Mukmin di talian 01162358004 untuk maklumat lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!