Tangani isu buli, elak tragedi Zulfarhan berulang kembali
BARU-BARU ini, kembali tular isu berkenaan buli apabila anak kepada pelakon dan penyanyi dilaporkan menjadi mangsa buli di sekolah berasrama.
Hal sedemikian menjadi kebimbangan ibu bapa kerana khuatir tragedi menyayat hati membabitkan Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu berulang kembali.
Isu buli tidak sepatutnya terjadi kerana pihak sekolah mahupun universiti perlu cakna mengenai masalah tersebut mampu mendorong kepada sesuatu perkara di luar jangka.
Bagaimanapun, masih ada masyarakat yang memiliki tanggapan bahawa membuli merupakan perkara biasa.
Ini yang perlu diperbetulkan semula kerana masalah itu tidak sepatutnya terjadi di tempat menuntut ilmu sama ada peringkat sekolah atau universiti.
Berbicara mengenai buli, ia bukan sahaja mengenai kecederaan fizikal semata-mata tetapi trauma yang dialami mangsa perlu diberi perhatian.
Trauma ini akan memberi kesan yang mendalam dalam hidup seseorang dan lebih membimbangkan apabila ia mampu menyebabkan mereka mengalami masalah mental.
Sehubungan itu, isu buli di sekolah perlu ditangani dengan segera dengan langkah mengambil tindakan kepada pembuli.
Jika hal ini tidak ditangani dengan sebaik-baiknya maka tidak mustahil tragedi yang menimpa Zulfarhan boleh berlaku kembali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!