[VIDEO] Sah cerai, Fazura menangis keluar dari mahkamah

A
A
A

SUBANG BESTARI - [DIKEMAS KINI] Selepas tujuh tahun mengecapi kebahagiaan rumah tangga, pasangan pelakon, Fattah Amin melafazkan cerai terhadap isterinya, Fazura dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini, pada Isnin.

Selepas prosiding berlangsung hampir satu jam, mahkamah merekodkan talak oleh Fattah atau nama penuhnya, Abdul Fattah Mohd Amin, 34, di hadapan Hakim Syarie, Abdul Malik Soleh pada jam 9.45 pagi.

Semasa prosiding, suara Fattah tersekat-sekat ketika membuat lafaz berkenaan di mahkamah.

Selesai menjatuhi talak, juara Hero Remaja 2011/2012 kelihatan sugul sementara Fazura atau nama penuhnya, Nur Fazura Sharifuddin, 40, menangis kemudian memeluk ahli keluarganya, sebelum keluar dari kamar mahkamah.

Hakim syarie kemudiannya membenarkan permohonan cerai yang difailkan Fazura mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Pasangan pelakon, Fattah Amin melafazkan cerai terhadap isterinya, Fazura dengan talak satu, di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini, pada Isnin. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Pasangan pelakon, Fattah Amin melafazkan cerai terhadap isterinya, Fazura dengan talak satu, di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini, pada Isnin. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Beliau mensabitkan berlaku perceraian dan memerintahkan pelakon filem ‘Gol & Gincu’ itu menjalani tempoh idah selama tiga kali suci serta mendaftarkan perpisahan berkenaan.

Selepas prosiding, peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Fazura berkata, setelah meneliti cadangan persetujuan yang dikemukakan Fattah selaku defendan, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan untuk berpisah.

Artikel Berkaitan:

“Defendan dibenarkan untuk melafazkan cerai talak satu, kali pertama terhadap anak guam saya plaintif.

“Oleh itu, lafaz cerai telah direkodkan pada 9.45 pagi dengan terma persetujuan telah direkodkan berkaitan nafkah anak dan idah, termasuk perkara lain berkaitan dengan bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah,” katanya.

Ditanya mengenai hak penjagaan anak, beliau berkata, ia akan direkodkan di Mahkamah Tinggi Syariah, yang mana tarikh prosiding belum ditetapkan.

Dakwaan keretakan rumah tangga pasangan selebriti Fazura dan Fattah Amin semakin jelas apabila aktres itu memfailkan perceraian pada 13 September lalu.

Fazura dan Fattah yang mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017, dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!