Dua lelaki ditahan jual alas kaki bercorak Kaabah, masjid

Alas kaki yang didapati mengandungi corak Kaabah dan masjid.
Alas kaki yang didapati mengandungi corak Kaabah dan masjid.
A
A
A

GEORGE TOWN - Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan menjual alas kaki bercorak menyerupai Kaabah dan masjid di sebuah khemah bazar perniagaan di sini, pada Ahad.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kedua-dua lelaki tempatan itu merupakan pemilik dan pekerja yang menjual alas kaki berkenaan.

Menurutnya, kedua-dua lelaki berusia 26 dan 41 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki.

"Menurut laporan yang dibuat lelaki tempatan itu, semasa dia berada di salah sebuah khemah bazar perniagaan di sini pada Sabtu lalu, dia ternampak beberapa alas kaki bercorak Kaabah dan masjid dijual kepada orang ramai.

"Lelaki berkenaan telah membeli alas kaki tersebut dan membuat laporan polis pada keesokan harinya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Mohd Alwi, susulan daripada itu, polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung perkara berkenaan.

"Permohonan reman akan dibuat pada hari ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

"Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menyentuh sensitiviti mana-mana pihak dan mengganggu siasatan polis," tambahnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!