Lebih 20,000 banjiri Karnival Permotoran Temerloh
TEMERLOH - Karnival Permotoran Temerloh 2024 2.0,'No Kroni No Select' yang berlangsung selama dua hari di Dataran Temerloh di sini dibanjiri lebih 20,000 peminat pemotoran dari seluruh negara.
Karnival yang berakhir pada Ahad itu menyaksikan 172 kelab pemotoran seluruh negara berhimpun di dataran tersebut.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, sebanyak RM200,000 diperuntukkan untuk karnival tersebut selepas mendapat sambutan memberangsangkan pada tahun lepas di dataran sama.
“Kerajaan negeri menyokong penuh penganjuran karnival permotoran ini yang menerima penyertaan daripada anak muda bukan sahaja dari seluruh Pahang tetapi juga di luar negeri ini.
“Ini membuktikan kerajaan negeri di bawah pimpinan menteri besar menyokong penuh minat anak muda termasuk dalam bidang permotoran,” katanya selepas menyempurnakan perasmian karnival mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Khaizulnizam Mohd Zuldin; Naib Pengerusi 1 Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP), Kamil Ibrahim; Presiden Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP), Sharuddin Ahmad dan Pengerusi MTSP Temerloh yang juga pengerusi karnival, Mohd Azly Norzan.
Dalam pada itu, Fadzli juga mengingatkan anak muda yang hadir ke karnival itu supaya berhati-hati di jalan raya dan menjaga keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain.
"Kita juga ingin mengucapkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang memberikan kerjasama iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk program ini," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!