Isu khemah biru tidak timbul jika pengusaha ikut peraturan - Exco
SEREMBAN - Isu khemah biru di pantai Teluk Kemang tidak akan timbul sekiranya pengusaha mematuhi peraturan ditetapkan oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, pengusaha sepatutnya membuka khemah sekiranya tiada permintaan pelanggan dan bukannya dibiarkan dipacak seolah-olah kawasan itu adalah tempat mereka.
"Isunya sekarang ada pengusaha pasang secara kekal dan ia menimbulkan rungutan pengunjung kerana rasa kurang selesa dengan kehadiran banyak khemah di situ.
"Kalau mereka patuh dengan arahan dikeluarkan MPPD, saya rasa isu ini tidak akan timbul," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Jelasnya, seperti mana yang telah dimaklumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini, isu berkenaan akan diselesaikan menjelang hujung tahun ini.
Tambahnya, buat masa ini tiada lagi arahan untuk terus mengharamkan aktiviti sewaan khemah di situ dan pengusaha diharap menghormati peraturan ditetapkan.
Bagaimanapun katanya, penguatkuasaan oleh MPPD dilakukan dari semasa ke semasa dan tindakan merampas atau menyita khemah akan diambil sekiranya masih ada pengusaha yang berdegil.
"Kita pun ada pertimbangan kerana memahami itu sumber rezeki mereka, malah pada masa sama turut ada permintaan daripada pelanggan.
"Bagi setengah orang memang mereka tidak perlukan khemah, tapi ada yang memerlukannya kerana tidak mahu duduk dalam keadaan panas," katanya.
Jelas beliau, isu tersebut hanya berlaku di pantai Teluk Kemang saja dan bukannya di pantai-pantai lain di Port Dickson.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Aminuddin berkata, perbincangan sedang dijalankan bersama pengusaha khemah sewa di kawasan pantai berkenaan bagi mencari kaedah penyelesaian terbaik.
Katanya, tindakan tersebut diambil agar pengusaha boleh terus mencari rezeki seperti yang dilakukan sejak sekian lama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!