Pelajar IPT cedera elak SUV tukar lorong

Tangkap layar rakaman video papan pemuka sebuah kenderaan menunjukkan bagaimana kejadian kemalangan tersebut berlaku pada 5 Oktober lalu.
Tangkap layar rakaman video papan pemuka sebuah kenderaan menunjukkan bagaimana kejadian kemalangan tersebut berlaku pada 5 Oktober lalu.
A
A
A

TAPAH - Seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) mengalami kecederaan selepas cuba mengelak sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang menukar lorong dalam kejadian di KM240.1 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran susur keluar tol Bidor pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi berkata, pihaknya terkesan dengan rakaman kejadian kemalangan tersebut yang tular menerusi media sosial membabitkan sebuah motosikal dan dua SUV.

Menurutnya, kemalangan terbabit dipercayai berlaku sekitar jam 11.09 pagi pada 5 Oktober dan pihak polis telah mengenal pasti ketiga-tiga kenderaan yang terlibat.

"Mangsa penunggang motosikal seorang lelaki berusia 18 tahun yang merupakan pelajar IPT telah mengalami kecederaan di bahu kiri dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan ketika kejadian.

"Salah seorang pemandu kenderaan SUV yang terlibat dalam kemalangan ini telah tampil untuk membantu siasatan. Pihak polis dalam usaha untuk memanggil seorang lagi pemandu kenderaan SUV untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Naim berkata, kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Peraturan 6(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959.

Sehubungan itu katanya, saksi kejadian dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian kemalangan tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohd Faizin Ahmad di talian 05-4011222 atau 013-2087919.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa memandu dengan berhemah dan mengamalkan sikap bersabar di jalan raya.

Artikel Berkaitan:

Menerusi rakaman video kamera papan pemuka berdurasi dua minit yang tular itu menunjukkan sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki terbabas selepas cuba mengelak sebuah kenderaan SUV yang menukar lorong dari kanan ke kiri jalan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!