Warga China, Pakistan maut dalam serangan di Karachi

Pihak berkuasa memeriksa lokasi serangan yang berlaku di bandar pelabuhan selatan Pakistan, Karachi pada malam Ahad. Foto Xinhua
Pihak berkuasa memeriksa lokasi serangan yang berlaku di bandar pelabuhan selatan Pakistan, Karachi pada malam Ahad. Foto Xinhua
A
A
A

ISLAMABAD - Dua warga China maut, seorang lagi cedera, manakala beberapa warga Pakistan turut terkorban dalam serangan yang berlaku di bandar pelabuhan selatan Pakistan, Karachi pada malam Ahad, lapor Xinhua.

Kedutaan China di Pakistan dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa serangan berlaku kira-kira jam 11 malam waktu tempatan Ahad (1800 GMT) apabila satu konvoi Syarikat Tenaga Elektrik Pelabuhan Qasim diserang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah di Karachi.

"Kedutaan dan Konsulat China di Pakistan mengecam sekeras-kerasnya tindakan ini, mengucapkan takziah kepada mangsa dari kedua-dua negara dan merakamkan simpati kepada mereka yang cedera serta keluarga mereka," menurut kenyataan itu.

China kini bekerjasama dengan pihak berkuasa Pakistan untuk menangani kesan insiden terbabit.

Kebakaran besar susulan letupan dahsyat pada malam Ahad turut mengakibatkan beberapa kenderaan terbakar berhampiran lapangan terbang di Karachi, menurut pihak polis.

Kedutaan China juga menekankan perlunya langkah praktikal dan berkesan diambil oleh pihak berkuasa Pakistan demi memastikan keselamatan rakyat, institusi dan projek China di negara itu.

"Kedutaan dan konsulat China di Pakistan mengingatkan warga dan syarikat China di Pakistan untuk berwaspada, memberi perhatian penuh terhadap situasi keselamatan tempatan, memperkukuh langkah keselamatan, dan berusaha sebaik mungkin untuk mengambil langkah berjaga-jaga," menurut kenyataan itu.

Kumpulan pemisah, Tentera Pembebasan Balochistan (BLA) mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu melalui satu kenyataan di platform media sosial, manakala pihak berkuasa Pakistan belum mengesahkannya. - Bernama/Xinhua

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!