'Mungkin penyokong tak nak ke stadium'

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Azli
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Azli
A
A
A

KEKECEWAAN peminat akibat keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menangguhkan perlawanan Liga Super antara Perak FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) dibimbangi akan menjejaskan kehadiran penonton ke stadium.

Presiden Kelab Penyokong Yellow Mobs Perak, Azli Salleh berkata, penangguhan perlawanan sebanyak dua kali pada saingan Liga Super antara kedua-dua pasukan itu memberi kesan kepada penyokong yang hadir.

Menurutnya, sebarang keputusan yang diambil oleh MFL seharusnya mengambil kira kehadiran penonton kerana ada dalam kalangan mereka datang dari jauh.

"Apabila dua kali ditangguh atas alasan sama, memang akan ada penyokong yang boikot untuk datang ke stadium sebab mereka beli tiket untuk tengok perlawanan, bukan padang.

"Mungkin tiket sama boleh digunakan pada perlawanan akan datang tapi selepas ini main di Manjung, tak semua orang mampu datang disebabkan masa dan kos," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Azli berkata, sepatutnya pihak MFL mempertimbangkan perlawanan diadakan pada keesokan hari dan tidak jadual terlalu lama bagi memberi peluang kepada peminat untuk hadir.

Dalam pada itu, beliau yakin penyokong masih akan turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan namun mungkin tidak semeriah di Stadium Perak.

Katanya, faktor jarak dan masa sepak mula juga akan mempengaruhi kehadiran penonton kerana Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) tidak sebesar Stadium Perak.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu beliau berharap Perak FC akan mengekal momentum kemenangan dalam baki perlawanan Liga Super di gelanggang baharu nanti.

Menurutnya, Perak FC akan berdepan jadual agak padat selepas ini dengan saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!