Libat urus caj pencemaran plastik diteruskan - Nik Nazmi

Sesi libat urus bersama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan berhubung caj pencemaran plastik akan diteruskan. Gambar hiasan
Sesi libat urus bersama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan berhubung caj pencemaran plastik akan diteruskan. Gambar hiasan
A
A
A

BANGI - Sesi libat urus bersama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan berhubung caj pencemaran plastik akan diteruskan, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, setakat ini sembilan negeri antaranya Perak, Selangor dan Johor telah melalui sesi libat urus berkenaan menyaksikan sambutan diterima agak menggalakkan manakala sesi sama dijangka diadakan di Terengganu, Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak pada November depan.

"Setakat ini ada (maklum balas) yang positif, ada advanced malah ada caj lebih tinggi dan sebagainya, kalau boleh kita nak perluas lagi program ini.

"Cuma di beberapa negeri perkara ini masih baharu dan kita juga kena menyedari ada pihak peruncit yang telah buat inisiatif sendiri termasuk di negeri yang belum wajib perkara berkenaan (caj pencemaran plastik),” katanya dalam sidang media selepas menghadiri ‘Jelajah Kelestarian Alam: Dari Anak Muda Kepada Dunia’ di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pada Isnin.

Caj pencemaran bertujuan mengurangkan dan menghindari penggunaan beg plastik terutamanya beg plastik sekali guna dalam kalangan rakyat Malaysia selain langkah menggalakkan pengguna membawa beg guna semula (reusable bag) sendiri dalam urusan harian.

Plastik ialah bahan yang sangat sukar terurai dan juga penyumbang terbesar kepada pencemaran alam sekitar serta memberikan risiko kesihatan terhadap masyarakat sekiranya sisa berkenaan tidak diuruskan dengan baik.

Nik Nazmi sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan menyasarkan sifar penggunaan beg plastik di premis seluruh negara menjelang 2025.

Dalam perkembangan lain mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim, beliau berkata, kertas konsultasi akan dikongsikan dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan daripada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

"... kemudian kita akan bawa ke perbincangan seterusnya dan kita sasar dapat dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya awal tahun depan,” kata Nik Nazmi.

RUU itu antara lain menekankan aspek kawalan pencemaran yang dapat menyumbang kepada usaha mitigasi bencana sekali gus mengurangkan kesan negatif terhadap sektor perniagaan selain 'mengawal' pencemaran termasuk melibatkan syarikat besar selari komitmen dibuat menerusi Perjanjian Paris 2015. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!