'Lepas jawatan pengerusi negeri, fokus tugas kerajaan'

Lih Kang bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar pada Isnin.
Lih Kang bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar pada Isnin.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Rombakan jawatankuasa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak dalam Majlis Pimpinan Negeri (MPN) bagi jawatan Pengerusi, September lalu bukan atas faktor perselisihan dalam parti.

Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang berkata, perkara itu adalah proses biasa dan selari dengan saranan kepimpinan parti untuk tidak meletakkan seorang menteri sebagai Pengerusi MPN negeri.

"Bagi pemilihan MPN ini, kita berbeza daripada parti lain kerana lantikannya dilakukan Presiden.

"Sebelum ini ada saya, Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam) dan Rafizi Ramli (Menteri Ekonomi), kami semua adalah Pengerusi MPN negeri.

"Tetapi untuk memberi fokus lebih tinggi kepada urusan kerajaan, parti ambil keputusan supaya barisan menteri ini tidak lagi memegang jawatan Pengerusi negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Perak dan Malaysia Techlympics Peringkat Zon Utara 2024 di Dewan Jubli Perak di sini pada Isnin.

Hadir sama, Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim.

Sebelum ini, Lih Kang yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyandang jawatan sebagai Pengerusi PKR Perak sejak 2022.

Artikel Berkaitan:

Pada 15 September lalu, jawatan itu digantikan dengan timbalannya, Mohamad Hairul Amir Sabri sepertimana diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Mengulas lanjut, Lih Kang yakin barisan kepimpinan baharu memberi kelebihan kepada parti untuk memastikan gerak kerja berjalan lancar di pelbagai peringkat.

"Walaupun pimpinan di Perak muda dari segi usia, namun mereka punya pengalaman luas dalam parti. Mereka semua adalah adik-adik saya yang pernah sama-sama berjuang dalam Angkatan Muda Keadilan (AMK)," katanya.

Barisan kepimpinan baharu PKR Perak menyaksikan perubahan jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi disandang Mohamad Hairul Amir dan Mohd Azlan Helmi (Exco Perak).

Selain itu, Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing yang sebelum ini menjawat Pengarah Jabatan Pilihan Raya Perak dilantik sebagai Naib Pengerusi manakala tempatnya diambil alih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Wong Chai Yi.

Muzaffar Shah Khairuddin pula dilantik sebagai Setiausaha PKR Perak yang baharu menggantikan Mohd Azlan manakala tempatnya sebelum ini sebagai bendahari diambil alih Sandrea Ng Shy Ching (Exco Perak).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!