Polis mohon pemandu SUV terbabit kemalangan di Bidor tampil bantu siasatan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

IPOH - Polis memohon pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terbabit dalam nahas jalan raya melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 340.1 Lebuhraya Utara Selatan arah utara pada Sabtu lepas untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi berkata, pihaknya mengesan sebuah video yang tular di media sosial sejak semalam mengenai kemalangan melibatkan dua buah kenderaan SUV dan sebuah motosikal.

Kemalangan itu berlaku kira-kira jam 11.09 pagi pada Sabtu lepas dan polis telah mengenal pasti ketiga-tiga kenderan yang terlibat.

"Mangsa ialah seorang lelaki berusia 18 tahun yang juga penunggang motosikal dan pelajar institusi pengajian tinggi mengalami kecederaan di bahu kiri dan menerima rawatan di Hospital Tapah.

"Seorang daripada pemandu kenderaan SUV yang terlibat dalam nahas ini telah tampil membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Naim berkata, kes disiasat di bawah Peraturan 6 (1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 dan pihaknya meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Mohd Faizan Ahmad @ Mohammed Razikin di talian 013-2087919 atau 05-4011222.

Tular di media sosial menerusi video berdurasi dua minit yang memaparkan kemalangan jalan raya membabitkan dua buah kenderaan SUV dengan sebuah motosikal berhampiran susur keluar Plaza Tol Bidor. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!