25 pasukan sertai Tour Gateh D’ Tranung 2024

Hishamuddin (dua dari kiri) ketika sidang akhbar kejohanan berbasikal Jelajah Terengganu iaitu Tour Gateh D’ Tranung 2024.
Hishamuddin (dua dari kiri) ketika sidang akhbar kejohanan berbasikal Jelajah Terengganu iaitu Tour Gateh D’ Tranung 2024.
A
A
A

SEBANYAK 25 pasukan berbasikal tempatan dan antarabangsa termasuk Belanda dan Australia menyertai perlumbaan kejohanan berbasikal Jelajah Terengganu iaitu Tour Gateh D’ Tranung 2024 bermula 22 hingga 28 Oktober ini.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Karim berkata, penganjuran edisi kali ketiga itu bertujuan mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan sukan sekali gus menghimpunkan pelumba-pelumba profesional dan amatur dari dalam dan luar negara.

"Kejohanan berbasikal ini dapat membantu mempromosikan destinasi dan produk pelancongan di Terengganu yang menarik kepada orang ramai.

"Ia juga mengangkat Terengganu sebagai 'Land Of Cyclist' yang telah melahirkan ramai pelumba berbasikal bertaraf dunia selain sebagai platfrom persediaan kepada pelumba muda untuk mara ke peringkat antarabangsa.

"Selain itu, ia turut menjadikan Tour Gateh D’ Tranung ini sebagai jenama antarabangsa dan tercatat dalam kalendar sukan berbasikal dunia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu pada Isnin.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, sebanyak 35 pasukan terdiri daripada pasukan negeri dan antarabangsa telah menyatakan hasrat untuk menyertai kejohanan ini namun hanya 25 pasukan yang layak terpilih.

Menurutnya, 25 pasukan itu melibatkan 12 pasukan kelab tempatan dan 13 pasukan kelab profesional bagi menyertai pertandingan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) turut menyertai kejohanan tersebut.

"Selain TSG, antara pasukan yang terlibat dalam kejohanan tersebut ialah Global Cycling Team dari Belanda, Australia Velofit Cycling Team dari Australia dan Nusantara Cycling Team dari Indonesia yang juga pasukan bertaraf benua," ujarnya.

Dalam pada itu, Hishamuddin menyatakan kejohanan tersebut melibatkan lima peringkat perlumbaan iaitu melalui daerah-daerah di negeri ini iaitu Dungun, Marang, Hulu Terengganu dan Kuala Nerus.

"Terdapat lima kategori utama ditawarkan selain menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM100,000.

"Kita mengetengahkan elemen batik yang merupakan warisan tradisi Melayu Terengganu pada jersi kemenangan untuk kejohanan tersebut," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!