Ketegangan Israel-Iran tingkatkan risiko peperangan lebih luas - Pakar

Konflik berterusan antara Israel dan Gaza kini memberi kesan lebih meluas kepada negara-negara Asia Barat lain termasuk Lubnan, Iran, dan sebahagian kecil wilayah Yaman. Foto AFP
Konflik berterusan antara Israel dan Gaza kini memberi kesan lebih meluas kepada negara-negara Asia Barat lain termasuk Lubnan, Iran, dan sebahagian kecil wilayah Yaman. Foto AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Konflik berterusan antara Israel dan Gaza yang tercetus sejak 7 Oktober tahun lalu, kini memberi kesan lebih meluas kepada negara-negara Asia Barat lain termasuk Lubnan, Iran, dan sebahagian kecil wilayah Yaman.

Setelah bertahun-tahun wujudnya konflik antara Iran dan Israel, ketegangan semakin memuncak akibat konflik di Gaza dan pembunuhan pemimpin kumpulan Hizbullah yang disokong Iran, Hassan Nasrallah di selatan Lubnan.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan peluru berpandu balistik pada 1 Oktober dan Israel berikrar untuk bertindak balas, mendorong ketidakstabilan lebih serius di wilayah itu yang berpotensi mencetuskan konflik serantau yang lebih meluas.

Dalam wawancara eksklusif bersama Bernama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia, Dr Ahmad Badri Abdullah mengupas mengenai peningkatan konflik di Gaza selepas 7 Oktober serta meneroka kesan geopolitik yang lebih luas dan dinamik serantau.

Beliau mengakui bahawa peperangan besar-besaran antara Israel dan Iran boleh mencetuskan konflik serantau yang lebih meluas.

"Peperangan besar-besaran akan membawa kesan kemanusiaan yang dahsyat, khususnya di Gaza dan selatan Lubnan, serta berpotensi menjejaskan beberapa bahagian Israel.

Serangan udara Israel menyasarkan kejiranan di Beirut pada Ahad. Foto AFP
Serangan udara Israel menyasarkan kejiranan di Beirut pada Ahad. Foto AFP

Artikel Berkaitan:

"Penduduk awam di Gaza telah pun mengalami pengeboman dahsyat, seperti penggunaan bom seberat 2,000 paun oleh Israel yang memusnahkan bangunan-bangunan besar dan memaksa penduduk meninggalkan kediaman mereka," kata Ahmad Badri.

Selain itu, serangan Israel ke atas kumpulan Hizbullah di selatan Lubnan berpotensi melibatkan aktor-aktor serantau lain seperti Syria dan Iraq, kedua-duanya mempunyai hubungan kuat dengan Iran.

Beliau berpendapat sekiranya konflik ini berlanjutan, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mungkin akan didesak untuk campur tangan, terutama jika Israel menggunakan perjanjian pertahanan bersama.

"Rusia dan China mungkin turut terlibat dalam konflik ini untuk melindungi kepentingan mereka, memandangkan kedua-dua negara itu sedang meletakkan diri sebagai pengimbang terhadap pengaruh AS di rantau ini," katanya.

Ahmad Badri juga berkata bahawa Amerika Syarikat teragak-agak dengan tindakan Israel menyerang Iran dan kemudahan nuklear awamnya, kerana khuatir tindakan sedemikian boleh mencetuskan perang besar-besaran oleh Iran.

Senario ini mungkin memaksa AS untuk menghantar tentera darat bagi menyokong Israel, dan Ahmad Badri menyebut terdapat 50/50 kemungkinan situasi ini akan meningkat menjadi konflik lebih luas.

Namun, di sebalik pendiriannya yang agresif, Israel masih ragu-ragu untuk menyerang Iran secara langsung tanpa sokongan penuh daripada AS dan sekutu Eropahnya.

"Israel menumpukan usahanya untuk melemahkan proksi asal Iran seperti Hizbullah di selatan Lubnan, menggunakan taktik seperti 'mowing the grass', yang bertujuan meneutralkan musuhnya buat sementara tanpa mencetuskan peperangan besar-besaran dengan Iran," katanya.

Beliau percaya pendekatan Tel Aviv terhadap Hizbullah mencerminkan kekecewaan terhadap kurangnya sokongan yang tidak berbelah bahagi atau tidak bersyarat dari Barat terutama AS, khususnya selepas kritikan meluas terhadap tindakan Israel di Gaza.

Ahmad Badri turut menekankan bahawa Israel sedang bergelut untuk mengekalkan sokongan tanpa syarat daripada penyokong tegarnya, AS.

Walaupun American Israel Public Affairs Committee (AIPAC) secara tradisinya berpengaruh di Washington, ia kini menghadapi cabaran untuk mendapatkan sokongan penuh AS bagi kemungkinan perang menentang Iran, katanya.

Perbezaan pendapat yang semakin ketara antara gerakan-gerakan berhaluan kiri dan kumpulan-kumpulan pelajar di universiti-universiti Amerika, yang giat berkempen menentang perang di Gaza mencetuskan perubahan yang ketara dalam pendapat awam di AS.

Perubahan ini mencerminkan perdebatan masyarakat tentang peranan AS dalam konflik ini dan mempunyai implikasi besar terhadap dasar luar negara, terutama berkaitan sokongannya kepada Israel.

Sementara itu, dalam wawancara berasingan dengan Bernama, Profesor James Chin dari Universiti Tasmania ditanya mengenai kemungkinan Israel menggunakan keupayaan senjata nuklearnya terhadap negara seperti Iran dalam perang besar-besaran.

Beliau berkata Israel tidak akan menggunakan senjata nuklearnya tanpa arahan dari AS.

"AS mungkin akan menghalang perkara ini bagi mengelakkan Rusia dan China terlibat, sekali gus mengelakkan perang nuklear. Namun, peperangan konvensional mungkin sebaliknya," katanya.

Menurut Persatuan Kawalan Senjata yang berpusat di AS, Israel dianggarkan memiliki 90 kepala peledak nuklear dalam simpanannya, namun Israel tidak secara rasmi mengakui memiliki senjata nuklear.

Chin berkata AS kekal sebagai kuasa dunia yang paling aktif terlibat, memihak dengan teguh kepada Israel, manakala Rusia dan China, walaupun mempunyai kepentingan dalam konflik ini, masih belum terlibat secara langsung.

"AS terikat secara ketenteraan, strategik, dan diplomatik dengan situasi di Timur Tengah. Rusia dan China mahu membiarkan AS menangani keadaan ini, sebab itulah mereka hanya mengeluarkan kenyataan meminta perdamaian tetapi masih belum terlibat secara langsung," katanya.

Beliau menyatakan bahawa pendirian Rusia dan China boleh berubah jika konflik ini semakin meluas, dan jika peperangan besar-besaran antara Iran dan Israel tercetus, ia boleh melibatkan negara Arab lain seperti Arab Saudi dan Jordan.

Apabila ditanya tentang pihak mana yang lebih dominan dalam peperangan antara Israel dan Iran, Chin berpendapat peperangan itu akan berkisar kepada keunggulan teknologi.

"Walaupun Israel kecil berbanding Iran, buat masa ini kelihatan Israel mempunyai teknologi yang lebih unggul, namun teknologi mereka banyak bergantung kepada bekalan senjata dari AS.

"Jadi, adakah AS akan terus membekalkan senjata kepada Israel walaupun Israel memulakan perang besar-besaran dengan Iran?

"Inilah sebabnya saya katakan bahawa Rusia dan China yang sedang memerhati dari jauh sedang menunggu tindakan AS," jelasnya.

Beliau membandingkan situasi ini dengan konflik di Ukraine, menyatakan bahawa jika AS berhenti membekalkan senjata kepada Ukraine, ia akan menghalang keupayaan Ukraine untuk bertahan dan mungkin menyebabkan Ukraine kalah dalam peperangan dengan Rusia.

Chin juga menekankan bahawa konflik Israel-Palestin bukanlah perkara baharu, sambil menambah bahawa walaupun media sosial mungkin menjadikannya kelihatan seperti perkembangan terkini, konflik ini bermula sejak 1970-an, 1980-an, dan juga 1990-an.

Beliau menekankan kepentingan untuk melihat konflik ini dalam konteks sejarah yang lebih luas.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia, Dr Ahmad Badri Abdullah berkata bahawa Iran, sebagai pengeksport minyak utama, boleh menyasarkan Selat Hormuz, yang merupakan laluan penting bagi penghantaran minyak dunia

Tindakan sedemikian mungkin menyebabkan harga minyak melonjak, sekali gus memberi kesan buruk kepada ekonomi global, terutamanya di kawasan yang bergantung kepada tenaga seperti Eropah dan Asia.

Beliau menekankan bahawa sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas Rusia akan merumitkan lagi pasaran tenaga global, mencetuskan ketidakstabilan tambahan.

"Gangguan dalam rantaian bekalan tenaga ini boleh memberi pelbagai kesan, termasuk inflasi dalam industri pembuatan dan potensi kemelesetan di beberapa negara.

"Senario ini akan memburukkan lagi cabaran ekonomi yang sudah dihadapi, didorong oleh ketegangan geopolitik yang berleluasa di rantau ini,” katanya.

Dari perspektif ekonomi, beliau menekankan bahawa perang yang berpanjangan merugikan sektor perniagaan, khususnya bagi negara-negara yang tidak terlibat dalam perdagangan senjata.

Akibatnya, negara-negara di Global South lebih memilih penyelesaian menyeluruh, terutama untuk gencatan senjata di Gaza dan Lubnan.

Badri turut melihat kecenderungan yang semakin meningkat dalam kalangan negara Arab untuk meneroka pakatan baharu, dan menjauhi pergantungan lama kepada kuasa Barat.

"Saya rasa mereka akan cuba berpihak kepada kuasa lain seperti Rusia dan China kerana pada masa ini kedua-dua kuasa besar terbabit sangat berpengaruh di rantau ini berbanding AS dan negara Barat dari segi ekonomi dan pengaruh," katanya.

Sekiranya situasi ini meningkat menjadi perang besar-besaran, negara-negara Arab mungkin akan meneruskan usaha mencari kerjasama baharu, yang berpotensi mewujudkan polarisasi dunia. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!