Larian berpakaian tidak senonoh: Dua lelaki warga asing didenda RM5,000

Athur (belakang) dan Satyanarayana dikenakan denda RM5,000 seorang selepas mereka mengaku salah atas pertuduhan melakukan perbuatan lucah di tempat awam di Mahkamah Majistret Kota Tinggi pada Isnin.
Athur (belakang) dan Satyanarayana dikenakan denda RM5,000 seorang selepas mereka mengaku salah atas pertuduhan melakukan perbuatan lucah di tempat awam di Mahkamah Majistret Kota Tinggi pada Isnin.
A
A
A

KOTA TINGGI – Dua lelaki warga asing didenda RM5,000 setiap seorang di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, atas pertuduhan melakukan perbuatan lucah memakai pakaian menjolok mata hingga mendatangkan kegusaran awam di Desaru.

Tertuduh Satyanarayana Prasad Papoli, 70, dan Arthur Wang, 66, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar.

Mengikut pertuduhan ke atas Arthur Wang yang merupakan warganegara Taiwan, beliau didakwa melakukan perbuatan lucah yang mendatangkan kegusaran kepada orang lain di tempat awam dengan berpakaian menjolok mata di jalan Utama jalan Desaru, daerah Pengerang.

Satyanarayana Prasad Papoli yang merupakan warganegara India juga didakwa melakukan perbuatan sama dengan berpakaian menjolok mata di pekarangan Lotus Desaru Hotel di daerah Pengerang antara jam 4 hingga 6 petang, pada Jumaat.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan dengan denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab Latif bersama Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Khairuddin Khalid dan Foo Fang Leong manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum itu, Abdul Ghafar memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman yang dapat memberi pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh malah kepada warga asing dan rakyat tempatan agar berpakaian sopan dan mengikut adat budaya negara yang dilawati.

Arthur yang merupakan seorang pesara dan aktivis dalam rayuannya memohon denda ringan dikenakan dengan alasan tidak berapa mengenali dan memahami budaya konservatif di negara ini selain memberitahu mahkamah pakaian yang dipakainya adalah pakaian Orang Asli di 'Orchid Island', Taiwan. Dia memakai pakaian tersebut untuk mempromosikan budaya itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya minta maaf kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas kesalahan ini sehingga menyinggung perasaan rakyat di negara ini dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu," katanya.

Sementara itu, Satyanarayana yang merupakan bekas peguam dalam rayuannya turut memohon maaf dan meminta supaya denda dikurangkan kerana dia sudah berusia 70 tahun, mempunyai isteri yang bertugas sebagai doktor dan datang ke sini untuk mengikuti program amal.

Majistret kemudiannya menetapkan kedua-dua tertuduh membayar denda RM5,000 setiap seorang dan penjara satu bulan jika gagal membayar denda.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar pada Ahad mengesahkan penahanan dua lelaki warga asing dan seorang warga tempatan berusia antara 39 hingga 70 tahun ditahan di sebuah hotel di Kota Tinggi pada jam 10 malam, Sabtu.

Ketiga-tiga mereka ditahan bagi membantu siasatan insiden berkelakuan tidak senonoh serta lucah semasa program larian antarabangsa Pan Asia 2024 di Kota Tinggi.

Pada Sabtu, media melaporkan kerajaan negeri tidak pernah memberi kebenaran atau kelonggaran terhadap mana-mana pihak bagi penganjuran acara yang tidak menjaga sensitiviti agama Islam di Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri memandang serius dan tidak akan berkompromi dalam isu tular mengenai pelancong berpakaian songsang dan tidak senonoh dalam satu program larian di Kota Tinggi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!