Lelaki parah ditikam penyamun ketika tidur
LAHAD DATU - Seorang lelaki cedera parah selepas ditikam ketika tidur di ruang tamu rumahnya dalam satu kejadian samun di Felda Sahabat dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, dalam kejadian 11 malam itu, warga tempatan berumur 31 tahun tersebut ditemui oleh isterinya dalam keadaan cedera parah dengan kesan tikaman di paha kanan dan bahagian kiri perut.
“Isteri mangsa yang berada di dalam bilik bersama dua anak mereka tidak menyedari kejadian tersebut sehinggalah dia mendengar suara suaminya meminta dia membuka pintu bilik dan mendapati mangsa berlumuran darah,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan polis di rumah berkenaan menemukan sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan yang menyaksikan telefon bimbit mangsa hilang, dipercayai dicuri oleh suspek.
Mangsa kini dirawat di Hospital Lahad Datu dan keadaannya dilaporkan stabil, katanya menambah polis sedang mengesan suspek. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!