[VIDEO] 'Banjir kali ini di luar jangkaan'
KLUANG - Rata-rata mangsa banjir kilat di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Dato Onn Jaafar di sini mengakui banjir kilat yang berlaku kali ini di luar jangkaan masing-masing.
Penduduk mendakwa banjir kilat kali ini berlaku secara mengejut dan air naik dengan cepat.
Menurut penduduk dari Taman Suria, S Gopala Krishnan, 58, ketika kejadian dia bersama keluarga sedang tidur dan air didapati mula naik sekitar jam 7 pagi.
Pemandu lori itu berkata, air naik dengan cepat dan dalam sekelip mata memenuhi kawasan dalam rumah.
"Semalam (Ahad) hujan dari jam 3 pagi hingga 7 pagi.
"Ketika kejadian, saya sempat tolong jiran berhampiran rumah selain memastikan motosikal dan kereta dalam keadaan selamat sebelum mendaftar untuk tinggal di PPS ini," katanya.
Seorang lagi penduduk, Rafi Mahpot, 38, berkata, dia dan isteri sempat menyelamatkan beberapa barangan berharga sebelum air masuk ke dalam rumah.
"Bila nampak air dah mula naik, saya cepat-cepat beritahu isteri untuk cepat angkat dan naikkan barang-barang ke tempat tinggi.
"Wakil di taman perumahan kemudian meminta kami untuk berpindah ke PPS," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!