[VIDEO] Fazura dakwa Fattah abai nafkah, curang
AKTRES, penyanyi dan ahli perniagaan, Nur Fazura Sharifuddin akhirnya mendedahkan punca utama perceraiannya dengan Fattah Amin.
Ujar Fazura, 41, tiga sebab utama dia akhirnya nekad untuk meletak titik noktah pada perkahwinan yang baru berusia tujuh tahun itu adalah kerana nafkah terhadapnya dan anak perempuan tunggal mereka, Nur Fatima Aisya, 4, diabaikan sejak sekian lama, selain tiada persefahaman dan kecurangan suaminya itu.
"Selama ini memang saya ambil pendekatan kunci mulut sebab jaga aib saya dan Fattah, masa depan Fatima tetapi bila ramai sudah bertanya dan pelbagai spekulasi. Tiga punca penceraian kami adalah pertama, Fattah telah abaikan nafkah untuk saya dah anak sejak sekian lama.
"Kedua kami tidak persefahaman lagi, saya telah lama tidak bahagia, emosi terganggu, mental tertekan. Saya bertahan dan telan apa sahaja walaupun pelbagai tohmahan, cacian dan fitnah yang dilemparkan kepada saya.
"Ketiga, saya tidak boleh terima lagi apabila Fattah berlaku curang terhadap saya. Saya ada bukti," katanya dalam sidang media sejurus selepas dia dan Fattah sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Subang Besari, pada pagi Isnin.
Tambah Fazura, sebagai isteri, dia tentu sekali bersedih dengan perceraian ini dan keputusan untuk berbuat demikian diambil dalam tempoh yang lama
"Saya sudah lama sengsara, bertahun-tahun dan telah berfikir panjang. Saya reda dengan ketentuan ALLAH dan saya percaya itu yang terbaik," jelasnya.
Tegas Fazura, disebabkan keputusannya untuk berpisah, dia menerima pelbagai cacian dan kata nista, serta tidak kurang yang menganggap bintang Gol & Gincu itu seorang yang ego.
"Umum tahu saya sayangkan Fattah, saya curahkan semua kasih sayang, sebagai isteri saya sudah lakukan yang terbaik, mudah-mudahan ALLAH tahu saya sudah banyak berkorban.
"Saya sediakan tempat tinggal, makan minum untuk dia dan Fatima. Saya juga hadiahkan kereta untuk keselesaan dia tetapi selepas banyak berkorban, kenderaan yang dibeli itu pun dibawa wanita yang haram bagi dia," ujarnya yang tidak dapat menahan sebak.
Ditanya sejak bilakah mengetahui kecurangan Fattah, Fazura berkata, dia mendapat tahu mengenai perkara itu sejak awal Ogos lalu, selepas tujuh bulan Fattah merahsiakannya.
Katanya, walaupun luaran nampak gembira, tetapi orang luar tidak tahu betapa hebat tekanan yang dihadapi.
"Dalam tempoh dua bulan tidak sebumbung, tiada sedikit pun usaha daripada Fattah untuk datang ke rumah, bersungguh-sungguh pujuk saya.
"Hanya ada mesej ucapan selamat pagi, selamat malam. Sebagai isteri memang saya marah, hati saya remuk. Cuma kalau dia datang pujuk, mungkinlah saya lembut hati, jadi dari situ saya tahu dia tidak benar-benar sayangkan saya," jelas Fazura.
Dalam pada sama, Fazura berkata, dia sedar bahawa ramai yang bersimpati terhadap anak tunggal mereka dan sebagai ibu, dia juga berasa perkara sama.
Bagaimanapun dia tidak dapat hidup bersama dalam kepura-puraan dan membenarkan Fatima melihat keadaan ibu dan bapanya yang tidak gembira bersama.
"Saya juga kesian pada Fatima, bayangkan empat tahun usianya dia tidak pernah rasa duit raya daripada ayahnya. Macam mana nak hidup bersama kalau Fatima melihat ibu dan bapanya tidak gembira.
"Saya juga nak tanya Fattah, kalau suatu hari nanti suami Fatima buat perkara sama (tidak memberi nafkah dan sebagainya), adakah dia gembira dan setuju untuk Fatima teruskan?" akhiri Fazura.
Terdahulu dakwaan keretakan rumah tangga pasangan selebriti Fazura dan Fattah Amin mula dihidu sejak Julai lalu tetapi segala spekulasi semakin jelas apabila aktres itu memfailkan perceraian pada 13 September.
Fazura dan Fattah yang mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017, dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!