Genap setahun perang Gaza: Kemusnahan, kematian dan krisis kemanusiaan
KETIKA dunia memperingati tahun pertama perang di Gaza, statistik yang dikemukakan memberi gambaran pahit tentang betapa dahsyatnya kesan konflik terbabit terhadap rakyat Palestin.
Setahun berlalu, serangan Israel ke atas Gaza mengakibatkan kemusnahan yang meluas, kehilangan nyawa yang tidak terhitung dan krisis kemanusiaan yang berpanjangan, menurut data terkini yang dikeluarkan oleh Forum Antarabangsa Palestin untuk Media dan Komunikasi (Tawasol) pada 1 Oktober 2024.
Angka kematian daripada konflik ini amat mengerikan. Lebih 51,615 orang disahkan meninggal dunia atau hilang, termasuk 41,615 kematian yang merangkumi 16,859 kanak-kanak dan 11,429 wanita.
Selain itu, 10,000 orang masih belum dapat dikesan, ramai dipercayai tertimbus di bawah runtuhan atau ditinggalkan di jalanan. Seramai 96,210 orang cedera, dengan wanita dan kanak-kanak menyumbang 69 peratus daripada jumlah mangsa.
Kesan perang ini bukan sahaja disebabkan oleh keganasan secara langsung, tetapi juga akibat kebuluran dan kekurangan rawatan perubatan.
Sekurang-kurangnya 36 kanak-kanak maut akibat kebuluran, dengan ramai lagi mangsa lewat menerima rawatan. Seramai 171 bayi baru lahir terbunuh semasa konflik, dan 710 bayi berusia bawah satu tahun juga kehilangan nyawa mereka.
Data juga menunjukkan bahawa perang mengakibatkan kira-kira 2 juta orang di Gaza kehilangan tempat tinggal, memaksa mereka berlindung di pusat-pusat perlindungan, yang kebanyakannya tidak sesuai untuk didiami.
Lebih 183 pusat perlindungan disasarkan semasa serangan udara Israel, dan 100,000 khemah yang digunakan oleh pelarian kini tidak lagi dapat digunakan.
Ribuan kanak-kanak menjadi yatim piatu akibat keganasan ini, dengan seramai 25,973 kanak-kanak kehilangan seorang atau kedua-dua ibu bapa mereka.
Kubur besar ditemukan di seluruh wilayah terbabit, dengan sekurang-kurangnya 130 kubur mengandungi ratusan mayat, termasuk 520 yang djumpai di hospital sahaja.
Selain itu, seramai 4,000 pekerja dari Gaza ditahan dan diseksa dalam tempoh 24 hari, menonjolkan pencabulan hak asasi manusia yang serius sepanjang konflik ini.
Israel menggugurkan 45,000 bom dan peluru berpandu ke atas Semenanjung Gaza dengan lebih 85,000 tan bahan letupan. Jumlah itu melebihi enam kali ganda kuasa bom atom yang digugurkan di Hiroshima dan serangan terbabit menghasilkan lebih 40 juta tan runtuhan di seluruh kawasan Gaza.
Kemusnahan ini turut melibatkan utiliti utama: 70 peratus daripada rangkaian elektrik musnah, bersama 700 telaga dan stesen air minuman, menyebabkan kebanyakan kawasan di Gaza terputus bekalan perkhidmatan penting. Sejumlah 3,130 kilometer rangkaian elektrik, 330,000 meter saluran air, dan 665,000 meter sistem pembetungan turut musnah, memburukkan lagi krisis di wilayah ini.
Sektor kesihatan di Gaza lumpuh akibat konflik yang berterusan, dengan lebih 886 petugas kesihatan terbunuh, manakala 717 lagi cedera. Situasi kian parah dengan penahanan dan penyeksaan terhadap 310 kakitangan perubatan.
Selain itu, sebanyak 162 institusi kesihatan turut disasarkan sepanjang konflik, menyebabkan kemusnahan ke atas 34 hospital dan 80 pusat kesihatan, kini semuanya tidak lagi berfungsi.
Pesakit kronik berada dalam keadaan amat terdedah, dengan seramai 350,000 orang tidak dapat menerima rawatan yang diperlukan akibat sekatan terhadap ubat-ubatan. Antaranya, 10,000 pesakit kanser dan 1,100 individu yang memerlukan dialisis menghadapi risiko mengancam nyawa susulan kekurangan rawatan perubatan asas.
Perang turut memberi kesan terhadap kesihatan ibu, menyebabkan 60,000 wanita hamil berisiko susulan kekurangan perkhidmatan perubatan.
Data Tawasol juga menunjukkan bahawa infrastruktur pendidikan mengalami kerosakan yang teruk, dengan 461 sekolah dan universiti dibom. Daripada jumlah ini, 123 institusi musnah sepenuhnya. Akibatnya, 29 peratus daripada bangunan sekolah tidak lagi boleh digunakan sama ada musnah atau rosak teruk.
Kemusnahan ini menyebabkan 625,000 pelajar tidak dapat mendaftar dalam sistem pendidikan, dan 88,000 pelajar universiti tidak dapat meneruskan pengajian mereka.
Sementara itu, sebanyak 133 sekolah kerajaan digunakan sebagai pusat perlindungan, sekali gus mengurangkan kapasiti pendidikan di wilayah ini.
Seramai 174 wartawan dan petugas media Palestin turut terkorban, manakala 80 wartawan cedera dan 36 lagi ditahan.
Serangan ini bukan sahaja mengorbankan nyawa tetapi turut menghalang keupayaan untuk melaporkan mengenai konflik dan kesan kemanusiaannya, menjadikan Gaza semakin terpencil daripada dunia luar.
Tapak arkeologi dan warisan yang kaya di rantau ini juga turut musnah, dengan 206 lokasi arkeologi dan warisan dimusnahkan semasa konflik.
Kehilangan ini merupakan tamparan hebat kepada kehidupan rohani dan budaya rakyat Palestin, selain menghapuskan sejarah dan warisan berabad-abad yang tidak dapat ditukar ganti.
Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) turut terjejas teruk, dengan 152 kakitangan UNRWA terbunuh dan 170 bangunan UNRWA disasarkan dalam serangan udara.
Lebih 231 pusat perlindungan dibuka untuk menampung pelarian, namun pusat-pusat ini kekurangan keperluan asas untuk kelangsungan hidup.
Data yang dikemukakan juga menunjukkan bahawa jumlah kerugian ekonomi amat tinggi, dengan anggaran kerugian awal langsung akibat perang ini melebihi AS$33 bilion.
Genap setahun perang genosid yang berterusan ke atas Gaza, rakyatnya masih terus menderita akibat perang paling merosakkan dalam sejarah terkini. Angka-angka ini bukan sekadar statistik; ia menceritakan kisah pilu tentang kehilangan, ketabahan, dan keperluan mendesak bagi campur tangan antarabangsa.
Serangan balas Israel mungkin ganggu gencatan senjata Gaza
Peningkatan konflik yang berterusan serta kekurangan kawalan dalam Kabinet Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berpotensi menjejaskan sebarang rundingan tawanan dan gencatan senjata di Gaza, kata Dr. Dan Steinbock, seorang pakar strategi global yang diiktiraf dalam geopolitik multipolar.
"Sekiranya konflik ini merebak melangkaui zon perang semasa dan merebak ke Iran, kita mungkin menyaksikan kemusnahan yang lebih besar. Seperti dalam konflik lalu, tindakan balas Israel seolah-olah mengeksploitasi musim pilihan raya AS, dengan menggunakan kempen Parti Republikan dan Demokrat antara satu sama lain.
"Hasil yang membimbangkan ini berpunca daripada dasar yang salah yang diterima pakai oleh pentadbiran Biden selepas peristiwa pada 7 Oktober 2023,” kata Dr. Steinbock, merujuk kepada ketegangan yang semakin meningkat.
Dr. Steinbock, pengasas perundingan global Difference Group Ltd, yang memberi khidmat nasihat kepada kerajaan, syarikat, dan organisasi di seluruh Barat dan Global South berkongsi pandangannya sebagai respons kepada pertanyaan Bernama mengenai tindak balas Iran terhadap Israel baru-baru ini dan potensinya terhadap geopolitik.
Beliau berkata, bahawa tindak balas yang bersesuaian daripada Israel boleh menunjukkan kekuatan tanpa menyebabkan kos ekonomi dan kemanusiaan yang meluas. Namun, peningkatan secara tidak wajar akan menyasarkan bukan sahaja infrastruktur ketenteraan Iran tetapi mungkin juga bertujuan untuk menggugat kestabilan rejim.
"Jika matlamatnya adalah pertukaran rejim, serangan mungkin merangkumi tapak nuklear Iran dan infrastruktur ketenteraan kritikal. Dalam senario ini, Iran akan terpaksa meningkatkan tindak balasnya, yang boleh mendorong rantau ini kepada situasi yang tidak dapat dijangka, dengan kesan yang meluas di seluruh dunia,” beliau memberi amaran.
Ketegangan semakin memuncak susulan serangan peluru berpandu Iran ke atas Israel pada 1 Okt, sebagai tindak balas kepada pembunuhan pemimpin tertinggi Hizbullah, Hamas, dan pegawai Iran.
Israel kemudiannya berikrar untuk bertindak, meningkatkan lagi kebimbangan mengenai konflik serantau yang lebih luas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!