[VIDEO] 'Rasa nak menangis bila dapat naik jentera bomba'
KUANTAN - Kegembiraan jelas terpancar pada wajah seorang wanita yang sarat mengandung apabila impian uniknya untuk menaiki jentera bomba direalisasikan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas di sini.
Suri rumah, Sharifah Nor Najwa Syed Othman, 25, atau lebih mesra dipanggil Wawa berkata, keinginan itu bermula sewaktu menyaksikan deretan jentera bomba yang dipamerkan kepada umum pada perarakan Hari Kebangsaan baru-baru ini.
Menurutnya, hasrat tersebut dinyatakan kepada suaminya, Syed Amirul Rosyid Sy Mohd Syukri, 27.
"Saya merajuk dan menangis sebab betul-betul hendak naik lori bomba,” katanya yang memaklumkan usia kandungannya sudah mencecah sembilan bulan.
Pada Jumaat lalu, tular satu rakaman video di Facebook rasmi BBP Taman Tas yang memaparkan seorang wanita hamil menaiki jentera bomba dan turut mengenakan pakaian seragam agensi penyelamat tersebut.
Video yang dimuat naik itu menerima lebih 8,000 tontonan.
Wawa yang menetap di Inderapura Jaya melahirkan rasa terharu apabila suaminya membuat kejutan dengan membawa ke BBP Taman Tas, kononnya untuk menghadiri mesyuarat.
“Tak sangka suami betul-betul buat kejutan. Masa dah (dapat) naik (jentera bomba), rasa terharu sangat, hendak menangis pun ada dan puas hati sebab akhirnya impian ini tercapai.
"Dapat juga saya naik lori bomba yang besar itu, terima kasih kepada abang-abang bomba yang sangat baik hati dan mesra,” katanya.
Sepanjang kehamilan, Wawa memaklumkan hanya mengidam makanan yang biasa-biasa sahaja dan semua permintaan itu dilayan sebaiknya oleh suami.
Namun, katanya, menaiki lori bomba adalah keinginan paling ‘pelik’ dialami sepanjang kehamilan kali ini.
Wawa berkata, kisah unik itu akan menjadi kenangan manis dan ia bakal diceritakan kepada anak sulungnya nanti.
“Bila anak sudah besar nanti, boleh tunjukkan video ini dan ceritakan pengalaman ibu mengidam nak naik lori bomba.
"Mana tahu dia (anak) minat nak jadi anggota bomba pula satu hari nanti,” ujarnya.
Sementara itu, Syed Amirul yang bekerja sebagai peguam pelatih berkata, pada awalnya dia menyangka permintaan isterinya sekadar gurauan.
“Saya fikir (Wawa) buang tabiat, sebab ada juga tengok video ibu hamil hendak naik kereta polis. Tapi bila dia (Wawa) merajuk dan menangis, barulah saya faham dia serius hendak naik jentera bomba.
"Saya rancang kejutan ini sebab nak pastikan dia gembira. Nampak mata dia berair masa ke sini," katanya.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II (KUP) Mohd Khairul Izhan Mohamed berkata, pihak bomba sentiasa memberi peluang untuk memenuhi semua impian termasuk permintaan seorang ibu hamil yang mengidam untuk menaiki jentera bomba.
Jelasnya, permintaan yang jarang berlaku itu disambut baik oleh pihaknya.
“Permintaan seperti ini yang pertama direalisasikan di Pahang.
"Kami di jabatan bomba sentiasa bersedia membantu dan setiap permintaan akan dilaksanakan dengan cara terbaik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!