[VIDEO] 'Mungkin dia rasa tak cukup tapi jangan cakap saya tak bagi nafkah' - Fattah
PELAKON dan penyanyi, Fattah Amin menafikan segala dakwaan yang dibuat bekas isterinya, Nur Fazura berhubung punca perceraian mereka.
Tegas Fattah, 34, dia mempunyai bukti transaksi yang menunjukkan segala perbelanjaannya terutama buat Fazura dan anak tunggal mereka, Nur Fatima Aisya, 4.
"Janganlah main sentimen itu. Saya ada bukti penyata bank, ke mana wang saya dikeluarkan. Mungkin dia rasa tidak cukup untuk dia, tapi jangan cakap saya tak bagi nafkah kerana nafkah adalah perkara asas dalam perkahwinan, setakat mengikut kemampuan,” katanya.
Lebih kesal, Fattah berkata, mengapa isu kecurangan dijadikan alasan perceraian walhal perkara itu tidak difailkan dalam perceraian mereka.
Apatah lagi, dia dan Fazura sebelum itu sudah menandatangani perjanjian untuk tidak mendedahkan aib masing-masing selepas talak dijatuhkan.
"Saya nafikan dakwaan itu, sebelum ini pun, peguam dia sudah jawab mengenai tiada kes curang, kenapa tiba-tiba sebut kes curang?
"Semuanya tidak betul dan saya ada bukti. Bagi saya semua tohmahan ini adalah untuk memalukan nama saya, mencemarkan nama baik saya.
"Sedangkan saya ada tahu sesuatu tentang dia tetapi kita ada perjanjian sebelum lafaz tadi untuk jaga aib masing-masing. Jadi saya terkejut bila tahu dia keluar kenyataan seperti itu. Lagipun malu lah bila anak saya besar nanti lihat mommy, daddy dia bergaduh begini," jelas Fattah.
Dalam masa sama, bintang KL Special Force itu turut menyangkal dakwaan menerima hadiah kereta mewah jenis Range Rover daripada Fazura sebelum ini.
Katanya, kereta berkenaan adalah hadiah daripada syarikat dan gajinya ditolak untuk membayar kereta tersebut.
"Dia hadiahkan kepada saya? Salah itu. Itu daripada syarikat kerana saya bekerja dengan syarikat Fazura. Semua orang tahu saya bekerja dengan syarikatnya. Jangan ungkit benda yang tidak sepatutnya,” katanya yang tidak pernah sesekali menyesali mengahwini Fazura dan reda kerana jodoh mereka tidak berpanjangan.
Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin melafazkan cerai talak satu terhadap Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 41, pada jam 9.45 pagi di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh.
Mahkamah sebelum itu membenarkan permohonan cerai yang difailkan Fazura mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!