Northport buka lapangan kontena baharu, sasar 6,150,250 TEU setahun

Dari kiri: Jurutera Kanan Sivil Lembaga Pelabuhan Klang, Rosle Abidin; Azman Shah; CEO MMC Engineering, Mohamad Asroll Mansor dan Ketua Jabatan Kejuruteraan Marin, Wan Dasri Shah Wan Abdullah semasa acara perasmian lapangan kontena Blok K di Northport, baru-baru ini.
Dari kiri: Jurutera Kanan Sivil Lembaga Pelabuhan Klang, Rosle Abidin; Azman Shah; CEO MMC Engineering, Mohamad Asroll Mansor dan Ketua Jabatan Kejuruteraan Marin, Wan Dasri Shah Wan Abdullah semasa acara perasmian lapangan kontena Blok K di Northport, baru-baru ini.
A
A
A

NORTHPORT (Malaysia) Bhd (Northport) yang juga ahli Kumpulan MMC Corporation Berhad (MMC) mengumumkan pembukaan lapangan kontena baharu, Blok K, lebih awal 51 hari daripada jangkaan serta bakal meningkatkan kapasiti keseluruhan lapangan kontena kepada 6,150,250 Unit Bersamaan Dua Puluh Kaki (TEU) setahun.

Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, lapangan kontena Blok K baharu dengan 2,016 TGS (Jumlah Slot Tapak) itu memberi tambahan kapasiti sebanyak 662,256 TEU berdasarkan hari simpanan selama lima hari dengan pembinaannya dimulakan pada 14 Ogos 2023.

Menurutnya, penyempurnaan lapangan kontena Blok K baharu tersebut meningkatkan kapasiti keseluruhan Northport dengan ketara bagi mengendalikan jumlah kontena yang lebih tinggi.

"Penyempurnaan lapangan kontena Blok K baharu ini akan meningkatkan kapasiti keseluruhan Northport dengan ketara bagi mengendalikan jumlah kontena yang lebih tinggi.

"Projek yang telah berjaya disiapkan 51 hari lebih awal daripada jadual ini menzahirkan prestasi cemerlang kontraktornya iaitu MMC Engineering Sdn Bhd," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, selaras dengan komitmen Northport terhadap kelestarian, lapangan kontena baharu tersebut disokong dengan penggunaan jentera kren mesra alam, Electrified Rubber Tyred Gantry (E-RTG).

Ujarnya, Northport telah membuat pembelian sebanyak 12 unit ERTG untuk operasi di Blok K dengan lapan unit pertama dijangka tiba pada Disember 2024 manakala baki empat lagi menjelang Mac 2025.

"Pelaburan dalam teknologi hijau ini menyerlahkan dedikasi pihak kami untuk mengurangkan jejak karbonnya dan menggalakkan operasi pelabuhan mesra alam.

Artikel Berkaitan:

"Kejayaan menyiapkan lapangan kontena Blok K dan ditambah lagi dengan inisiatif transformasi berterusan Northport telah menetapkan penanda aras baharu dalam industri maritim," katanya.

Menurut Che Khalib, kemudahan baharu berkenaan bukan sahaja meningkatkan kapasiti Northport tetapi juga menyepadukan teknologi termaju dan mesra alam yang sejajar dengan matlamat kemampanan Kumpulan MMC.

"Kami berbangga dengan pencapaian yang mengukuhkan status Northport sebagai salah satu pemain utama dalam perdagangan global dan menyerlahkan kepentingan Malaysia yang semakin meningkat sebagai hab strategik dalam landskap perkapalan antarabangsa," ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azman Shah Mohd Yusof menyifatkan projek pembangunan Blok K adalah sebahagian daripada inisiatif 'Reinventing Northport' dalam menyediakan perkhidmatan pelabuhan bertaraf dunia.

Menurut beliau, ia mengukuhkan dedikasi Northport terhadap produktiviti yang tinggi dalam memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang dan menyesuaikan diri dengan permintaan dinamik industri perkapalan global.

"Pembinaan Blok K adalah antara komponen utama di dalam rancangan transformasi Reinventing Northport lebih luas untuk menangani beberapa isu dan cabaran utama yang diwarisi sekian lama termasuk produktiviti rendah, jumlah kendalian menurun dan peralatan jentera lama.

"Dengan mempertingkatkan infrastruktur dan kemudahan terminal serta menaik taraf peralatan jentera, Northport bersedia menambah baik produktiviti serta kecekapan operasi, meningkatkan kualiti perkhidmatan, memastikan pertumbuhan mampan dalam industri yang sentiasa berkembang," katanya.

Jelas Azman Shah, sebelum Blok K siap dibina Northport telah berjaya membangunkan sebuah lagi lapangan kontena baharu iaitu Blok J.

Ujarnya, kemudahan infrastruktur yang telah siap dibina pada 27 Mei 2023 tersebut telah memberi tambahan sebanyak 529,980 TEU kepada kapasiti keseluruhan lapangan kontena berkenaan dan telah menetapkan aras bagi projek Blok K yang lebih besar.

"Usaha transformasi Northport telah pun membuahkan hasil yang membanggakan. Pada 2024 sahaja, pelabuhan ini memecahkan rekod bulanan kendalian kontena tertinggi sebanyak tiga kali iaitu pada Mei, Julai dan Ogos.

"Pada 20 Mei lalu, Northport telah menerima persinggahan kapal MV OOCL Japan, kapal kontena terbesar pernah berlabuh di fasilitinya. Dengan kapasiti berjumlah 21,413 TEUs, kapal dimiliki oleh Orient Overseas Container Line (OOCL) Limited, mencipta rekod baharu untuk Northport dengan mengatasi kapal terbesar yang pernah singgah sebelumnya iaitu Eugen Maersk berkapasiti 11,000 TEUs pada 2013," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, bagi lapan bulan pertama 2024, Northport telah mengendalikan sejumlah 2,441,706 TEU kontena iaitu peningkatan ketara sebanyak 17.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Beliau berkata, dengan prestasi kukuhnya setakat ini, Northport bersedia untuk mengakhiri tahun 2024 dengan lebih baik dan berpotensi menjadikan tahun 2024 sebagai salah satu tahun berprestasi tinggi untuk segmen perniagaan kontenanya.

"Dengan pencapaian kami setakat ini, kami optimis bahawa bersama-sama dengan Westports, Pelabuhan Klang akan menjadi antara 10 pelabuhan paling sibuk di dunia menjelang akhir tahun 2024.

"Pencapaian ini bukan sahaja akan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam landskap maritim global, tetapi juga memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih besar untuk negara kita," katanya.

Ujar beliau lagi, dengan Northport terus berkembang maju, projek Blok K ini menjadi simbol komitmennya terhadap kecemerlangan, kemampanan dan inovasi.

Jelasnya, penambahbaikan ini meletakkan Northport dalam keadaan bersedia untuk menghadapi cabaran industri perkapalan pada masa akan datang di samping terus menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!