Samun banglo Pandamaran: Ketua Geng Casa miliki tiga rekod kes bunuh diberkas

Hussein menunjukkan wajah suspek-suspek yang diberkas menerusi operasi dijalankan.
Hussein menunjukkan wajah suspek-suspek yang diberkas menerusi operasi dijalankan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan penjenayah ganas, bertopeng serta bersenjatakan parang dikenali Geng Casa yang aktif melakukan jenayah samun tumpas menerusi tangkapan sekitar Negeri Sembilan dan Lembah Klang baru-baru ini.

Kumpulan diketuai seorang lelaki yang memiliki tiga rekod kes bunuh ini ditahan bersama sembilan individu lain termasuk wanita dipercayai bergiat aktif sejak setahun lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan dijalankan susulan kejadian samun melibatkan sebuah kediaman milik ahli perniagaan di sekitar kawasan Pandamaran, Klang pada 3 Oktober lalu.

Hussein (tengah) memegang parang panjang yang digunakan kumpulan penjenayah terbabit ketika melakukan jenayah samun.
Hussein (tengah) memegang parang panjang yang digunakan kumpulan penjenayah terbabit ketika melakukan jenayah samun.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, sekumpulan individu terdiri antara 10 hingga 12 lelaki bertopeng serta bersenjatakan parang bertindak memecah masuk kediaman terbabit.

"Siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, kesemua penjenayah terbabit sebelum itu dilihat menaiki dua buah kenderaan jenis Toyota Vios dan Honda Civic sebelum memasuki kediaman itu melalui pagar.

"Suspek bertindak mengikat tiga individu dalam rumah tersebut selain mencederakan mangsa sebelum salah seorang mangsa berjaya menghubungi pihak polis," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Antara barangan berharga yang dirampas susulan tangkapan seramai 10 suspek sekitar Negeri Sembilan dan Lembah Klang baru-baru ini.
Antara barangan berharga yang dirampas susulan tangkapan seramai 10 suspek sekitar Negeri Sembilan dan Lembah Klang baru-baru ini.

Katanya, pelbagai barangan berharga termasuk barangan kemas bernilai RM600,000 dilarikan kumpulan penjenayah terbabit.

"Susulan itu satu operasi dijalankan bagi memburu kesemua suspek terlibat sebelum 10 individu termasuk seorang wanita ditahan pada 3 hingga 7 Oktober sekitar Mantin, Negeri Sembilan dan Lembah Klang.

"Kesemua suspek yang ditahan berumur antara 23 hingga 46 tahun dipercayai terlibat dalam kejadian," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati kumpulan penjenayah ini sangat berbahaya serta aktif melakukan jenayah samun sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan beberapa negeri lain.

"Kumpulan ini didapati mempunyai rangkaian terancang yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk melakukan risikan ke atas sekitar kawasan rumah mangsa sebelum melakukan jenayah samun.

"Mereka dipercayai akan melakukan jenayah terbabit ketika awal pagi melibatkan pintu rumah mangsa yang dibuka ketika waktu berkenaan.

"Siasatan mendapati kumpulan ini dipercayai terlibat dalam enam kes samun di Klang Selatan serta tujuh kes di Negeri Sembilan," katanya.

Hussein berkata, pelbagai barangan berharga dipercayai hasil jenayah dilakukan selain parang serta pelbagai peralatan dirampas ketika tangkapan dijalankan.

"Polis percaya terdapat beberapa individu dipercayai terlibat dalam kumpulan ini masih bebas di luar sana dan usaha mengesan serta memberkas individu terbabit sedang giat dijalankan.

"Kesemua suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!