Walau tak minum, haram duduk dalam majlis ada arak
MESKIPUN umat Islam cakna tentang pengharaman arak, tetapi kebanyakan masyarakat hanya menitikberatkan tentang soal makanan dan minuman sahaja yang mengandungi sesuatu memabukkan.
Namun dari segi gaya hidup, terdapat segelintir orang yang kurang mengendahkannya asalkan mereka tidak minum atau mengambil hidangan mengandungi alkohol.
Hakikatnya, haram bagi Muslim duduk semeja dengan orang yang minum arak.
Demikian tegas pendakwah, Ustaz Azhar Idrus menerusi hantaran laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.
Bahkan katanya, individu itu turut mendapat dosa sama sekalipun dirinya tidak minum arak yang dihidangkan kerana dia termasuk sebagai orang yang bersetuju dengan perkara maksiat.
“Ketahuilah bahawa majlis yang dihidangkan arak atau meminum arak dinamakan sebagai majlis maksiat,” katanya sebagaimana dipetik dalam hantaran berkenaan.
Ia sebagaimana diriwayatkan daripada Umar bin Al-Khattab RA yang berkata: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang beriman dengan ALLAH dan hari akhirat, maka jangan dia duduk pada majlis yang dihidangkan padanya arak.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Dalam hadis daripada Jabir bin Abdillah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang beriman dengan ALLAH dan hari kiamat, maka jangan sekali-kali dia duduk pada hidangan yang diminum padanya arak.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, pengharaman tersebut bertujuan untuk menzahirkan syiar Islam, selain maruah dan kehormatan diri.
“Di samping itu, ia bertujuan bagi mengelakkan fitnah ke atas diri sendiri dan menjauhi sebarang perbuatan yang boleh merosakkan akhlak dan keperibadian seseorang,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Irsyad Hukum Siri ke-224: Hukum duduk di dalam majlis yang dihidang arak padanya yang pernah disiarkan di laman web pejabat mufti berkenaan.
Seperkara lagi, pejabat mufti itu mengingatkan, arahan supaya menjauhi arak sebagaimana disebutkan dalam ayat ke-90 surah al-Maidah sebenarnya lebih kuat daripada tegahan meminumnya.
“Ini kerana (istilah) tegahan sahaja tidak termasuk dengan larangan lain yang berkaitan dengannya seperti melayan seseorang minum arak, membeli atau menjualnya.
“Bagaimanapun, arahan menjauhinya (arak) pula bermaksud amaran supaya kita hindari segala perkara yang berkaitan dengan arak termasuklah meminumnya, jual beli, apatah lagi duduk di dalam majlis yang dihidangkan arak padanya dan seumpamanya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!