Unit khas urus Harimau Malaya

Mohd Yusoff. Foto Bernama
Mohd Yusoff. Foto Bernama
A
A
A

SKUAD bola sepak negara akan diletakkan di bawah satu unit khas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bukan dipisahkan selepas diuar-uarkan bakal diswastakan sebelum ini.

Perkembangan tersebut dikongsi Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang memberitahu, unit berkenaan akan memantau dan mengendalikan skuad Harimau Malaya secara khusus selepas ini.

Beliau berkata, skuad bawah 23 tahun (B-23) juga akan bernaung di bawah unit khas tersebut bagi memastikan kesinambungan antara pasukan senior dan skuad pelapis dapat berjalan dengan lancar dan sistematik.

"Isu penswastaan skuad negara tidak timbul kerana akan ada satu unit khas untuk pasukan kebangsaan yang turut melibatkan skuad B-23.

"Unit ini akan bertanggungjawab kepada Presiden (Tan Sri Hamidin Mohd Amin) dan Exco FAM. Cuma peruntukan untuk unit ini akan dijaga khusus supaya kewangannya tidak digunakan kepada lain kerana kita pun ada banyak skuad kebangsaan yang lain," katanya.

Beliau ditemui media selepas mesyuarat jawatankuasa eksekutif FAM kali ke-12 di Wisma FAM Kelana Jaya pada Isnin.

Media sebelum ini melaporkan mengenai idea baharu untuk memperkasakan skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa dengan mencadangkan agar pasukan kebangsaan bergerak berasingan atau diswastakan.

Mohd Yusoff menjelaskan bahawa idea tersebut adalah daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim dan dibincangkan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

"Idea ini adalah untuk membantu dan menambah baik skuad kebangsaan," katanya.

Sebagai rekod, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) tiada halangan jika pasukan kebangsaan mahu diswastakan, namun ia tidak bermakna pengurusan skuad itu perlu bergerak secara berasingan dengan FAM.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!