JINGSHAN - Seorang wanita terselamat menjadi mangsa rogol selepas menakutkan penyerangnya bahawa dia baharu pulang dari Wuhan dan dijangkiti wabak koronavirus. Menurut polis, ketika kejadian, suspek lelaki bernama Xio, 25, memasuki bilik tidur mangsa di bandar Jingshan, China yang terletak berhampiran pusat wabak koronavirus itu, Jumaat lalu. "Ketika lelaki itu cuba menyerang, mangsa yang dikenali sebagai Yimou memberitahu suspek bahawa dirinya baru pulang dari Wuhan dan telah dijangkiti," lapor Metro.co.uk menurut sumber. Mangsa turut meyakinkan suspek dengan alasan dia tinggal bersendirian di rumah kerana sedang dikuarantin dan turut berpura-pura batuk. Menurutnya, suspek yang ketakutan mendengar kenyataan itu bertindak melarikan diri, namun sempat mencuri telefon bimbit dan wang tunai milik mangsa berjumlah £338 (RM1,807). Dalam pada itu, Biro Keselamatan Awam Jingshan mengeluarkan kenyataan tentang insiden tersebut yang kini tular di media sosial. Menurutnya, suspek telah menyerah diri setelah pencarian dilakukan di sekitar Pingba, yang terletak sekitar tiga jam dari Wuhan. "Suspek telah ditemani oleh ayahnya selepas pihak polis melakukan pencarian dan dia mengaku telah melakukan rompakan dan tidak bermaksud untuk melakukan kesalahan sehingga dirinya ditahan. "Dia melakukan kesalahan itu kerana terdesak tidak mempunyai wang untuk menampung perbelanjaan dirinya," katanya.