Pertingkat tekanan antarabangsa terhadap Israel
SHAH ALAM - Tekanan antarabangsa perlu dilaksana dan ditingkatkan terhadap Israel bersama sekutunya berdasarkan semua resolusi, keputusan serta undang-undang di pelbagai peringkat untuk menghentikan serangan ke atas Gaza, Tebing Barat, Lubnan termasuk Iran.
Pengerusi Kaukus Parlimen Malaysia untuk Palestin, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, Malaysia telah menyuarakan perkara itu di banyak peringkat sama ada ketua-ketua kerajaan, ahli Parlimen atau masyarakat sivil.
Menurutnya, seruan oleh blok politik atau perikatan perdagangan seperti Global South, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), ASEAN, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan sebagainya patut diperkasakan.
"Kecaman, protes dan penentangan oleh kerajaan dan masyarakat antarabangsa terhadap kekejaman yang dilakukan oleh rejim Israel turut wajar ditingkatkan.
"Selain itu, suara kesedaran dan kemanusiaan wajar diperkuatkan sebagai naratif seperti yang dibuktikan oleh protes yang semakin meningkat di seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sinar Harian melaporkan pada Isnin, genap setahun serangan besar-besaran dimulakan tentera zionis terhadap Genting Gaza pada 7 Oktober 2023 sehingga mengorbankan ribuan nyawa dan menjadikan kawasan berkenaan umpama ‘padang jarak, padang tekukur’.
Setiap hari, kedengaran tangisan demi tangisan, serta satu persatu kematian menghantui penduduk sepanjang tempoh 366 hari peristiwa berdarah di wilayah terkepung tersebut, sekali gus membuktikan perbuatan rejim zionis itu sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Setakat ini, lebih enam peratus daripada kira-kira 2.3 juta populasi di Genting Gaza terkorban atau cedera dalam perang genosid sepanjang tempoh 366 hari tersebut.
Tambah Syed Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Ledang itu, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Jerman dan sekutu Israel patut ditekankan bagi menghentikan kemunafikan serta percanggahan dalam menghadapi konflik ini.
"Anda tidak boleh menuntut pengurangan ketegangan atau perang sambil pada masa yang sama memberikan bantuan ketenteraan atau komponen kepada Israel.
"Anda tidak boleh berkeras memberikan bantuan kemanusiaan sambil pada masa yang sama menolak veto Resolusi UNSC untuk gencatan senjata. Darah rakyat Palestin berada di tangan mereka juga. Ini adalah komplot terhadap tindakan genosid dan jenayah terhadap kemanusiaan," katanya.
Ujarnya, hari ini menandakan setahun selepas serangan ke atas Zionis Israel oleh Hamas yang dikenali sebagai Ribut Al-Aqsa.
Jelas beliau, lebih penting lagi ia menandakan setahun genosid, pembunuhan beramai-ramai dan peperangan psikologi yang sistematik serta mengerikan oleh Israel terhadap Palestin.
"Tidak ramai yang menjangkakan bahawa perang ini akan berlarutan selama ini. Tidak ramai yang menyangka bahawa Palestin mampu bertahan menghadapi serangan ini begitu lama. Dan tidak ramai yang menjangka malapetaka yang berlaku. Tetapi ia berlaku. Dan rakyat Palestin masih terus melawan. Kenapa?
"Kerana 7 Oktober 2023 adalah tarikh penting dalam perjuangan menentang tujuh dekad pendudukan haram Israel, penjajahan peneroka, sekatan, pengusiran, apartheid dan pembunuhan.
"Ia mendedahkan niat buruk Israel dan keengganannya terhadap kemanusiaan dan keadilan. Ia menyingkap kemunafikan besar dan kontradiksi sekutu-sekutunya," katanya.
Menurutnya Ahli Lembaga Liga Ahli Parlimen untuk Al-Quds dan Palestin (LP4QnP) itu lagi, terdapat laporan jelas mengenai sasaran terhadap kanak-kanak, hospital, kakitangan perubatan dan sekolah.
Katanya, sekatan terhadap keperluan asas juga jelas walaupun Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan untuk bantuan kemanusiaan.
"Adakah genosid dan pembunuhan beramai-ramai termasuk wanita, kanak-kanak, wartawan, pembantu perubatan membenarkan tindakan balas pada 7 Oktober? Adakah semua rakyat Palestin dianggap pengganas dan oleh itu menjadi kemusnahan sampingan? Jawapannya tidak masuk akal dan tidak.
"Terdapat peperangan psikologi sistematik menggunakan kebuluran, kelaparan, kekurangan zat makanan, ketidakamanan dan pengusiran sebagai senjata perang. Adakah 7 Oktober memberi maksud bahawa Israel boleh bertindak sewenang-wenangnya dan melanggar secara terang-terangan mana-mana undang-undang antarabangsa, konvensyen, Resolusi bersejarah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan keputusan ICJ? Jawapannya tidak," ulasnya.
Dalam pada itu, beliau turut berpendapat, Israel tidak boleh mendakwa mempertahankan diri dengan perang berterusan selama setahun; pembunuhan, pembunuhan beramai-ramai lebih daripada 42,000 orang dan kemusnahan mutlak sekolah, hospital, pusat bantuan, masjid dan gereja.
Tegasnya, dunia tidak boleh hanya berdiam diri dan membiarkan Israel meneruskan genosid selama setahun lagi.
"Apa yang perlu kita lakukan? Adakah kita mahu peperangan ini berterusan? Tidak. Adakah kita mahu Israel terus bertindak sewenang-wenangnya dan melanggar undang-undang kemanusiaan tanpa henti, tanpa hukuman dan tanpa dipertanggungjawabkan? Tidak.
"Kita mesti terus menuntut penamatan perang, gencatan senjata kekal, pemberian bantuan kepada mangsa, memulihkan hak rakyat Palestin dan memastikan Israel bertanggungjawab atas tindakan genosid," katanya yang juga Pengerusi Kaukus Parlimen Asia Tenggara untuk Kebebasan Palestin (SEA-PFP).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!