Proses bawa kapal USCG Cutter Steadfast bermula hujung tahun ini
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dijadual membawa pulang kapal United States Coast Guard (USCG) Cutter Steadfast dari Amerika Syarikat bermula penghujung tahun ini.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, menerusi kunjungan hormat ke atas Komandan Pengawal Pantai Amerika Syarikat (USCG), Laksamana Linda Lee Fagan di Washington baru-baru ini, delegasi Maritim Malaysia turut mengunjungi USCG Cutter Steadfast di Baltimore.
Beliau berkata, dalam rangka lawatan itu, delegasi Maritim Malaysia meninjau persiapan membawa pulang kapal tersebut ke Malaysia.
"USCG Cutter Steadfast berada dalam keadaan yang baik dan ruang kerja di dalamnya amat selesa bagi menempatkan pegawai dan anggota penguat kuasa Maritim Malaysia.
"Proses baik pulih kapal berkenaan akan dilakukan dan keberadaannya di dalam inventori aset Maritim Malaysia tidak lama lagi," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, aset tersebut bakal meningkatkan keupayaan operasi penguatkuasaan dalam mengimplementasi konsep operasi berteraskan 'ever present' dan aset yang tepat untuk misi yang betul di Zon Maritim Malaysia.
Jelasnya, antara aspek penting yang dititikberatkan dalam membawa pulang kapal tersebut merangkumi kuasa gerak, penjanaan kuasa, struktur badan dan rangka kapal, komunikasi, pandu arah dan domestik.
Selain itu katanya, delegasi Maritim Malaysia turut dibawa melawat USCG Surface Acquisitions Logistic Center di Baltimore.
Di pusat logistik itu, kata beliau, ia merupakan perbincangan mengenai penyediaan peralatan sokongan kapal dan kemudahan bagi kru yang akan menjalani fasa suai kenal bersama aset tersebut.
Beliau berkata, antara peralatan yang telah tersedia untuk diserahkan adalah meliputi peralatan Damage Control and Fire Fighting (DCFF), peralatan domestik seperti kelengkapan 'galley' dan peralatan serta kelengkapan Onboard Spare List (OSL).
"Lawatan bersejarah itu diakhiri dengan pertukaran syiling, simbolik kepada tradisi agensi keselamatan dan jalinan kerjasama yang erat antara kedua-dua organisasi," ujarnya.
Mohd Rosli berkata, lawatan dan kunjungan hormat itu diadakan bagi memperkukuhkan jalinan kerjasama sedia ada antara Maritim Malaysia dan USCG.
Hasil pertemuan tersebut, katanya, USCG telah menyatakan sokongan dan komitmen tinggi terhadap usaha yang dilakukan Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan perairan negara.
Selain itu menurutnya, kedua-dua pihak menekankan pentingnya kerjasama dalam aspek keselamatan serta Intelligence Surveillance and Reconnaissance (ISR).
"Saya amat berbesar hati dengan sokongan yang diberikan oleh USCG dan percaya bahawa kerjasama ini akan memperkukuh keselamatan maritim kita serta memberikan manfaat kepada komuniti antarabangsa," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!