Militao tak sertai Brazil berdepan Chile, Peru
PEMAIN Real Madrid, Eder Militao terlepas aksi kelayakan Piala Dunia Brazil menentang Chile dan Peru bulan ini.
Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) ketika mengumumkan perkhabaran kurang gembira itu menyatakan pemain pertahanan dari Sertaozinho, Sao Paulo berkenaan mengalami kecederaan paha.
“Dia telah menjalani ujian pada Ahad yang mendapati terdapat kecederaan kecil pada otot di paha kirinya.
“Perkembangan terkini itu telah menghalang dia daripada menyertai cabaran bersama pasukan bola sepak kebangsaan negara Brazil,” kata badan induk bola sepak Brazil berkenaan dalam satu kenyataan.
Sebagai rekod, Militao sebelum ini juga terlepas perlawanan antarabangsa bulan lalu selepas mengalami kecederaan kaki.
Dia hadir ke Sao Paulo selepas beraksi sebagai pemain gantian ketika Real menang 2-0 ke atas Villarreal.
Kehilangan kelibat Militao menyaksikan bintang Flamengo, Fabricio Bruno dipanggil mengisi kekosongan ditinggalkan bekas pemain Sao Paulo dan FC Porto itu, tambah kenyataan berkenaan.
Sebagai rekod, Brazil kini berada di tempat kelima Kelayakan Piala Dunia Amerika Selatan dengan 10 mata daripada lapan perlawanan, dengan enam teratas ditetapkan untuk layak secara langsung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!