MAIS laksana pemulihan pengikut GISBH

MAIS sentiasa bersedia membantu bekas ahli GISBH sama ada kemasukan secara sukarela atau perintah mahkamah bagi proses pemulihan. Gambar fail Bernama (Gambar kecil: Abdul Aziz)
MAIS sentiasa bersedia membantu bekas ahli GISBH sama ada kemasukan secara sukarela atau perintah mahkamah bagi proses pemulihan. Gambar fail Bernama (Gambar kecil: Abdul Aziz)
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melaksanakan proses pemulihan secara menyeluruh kepada ahli GISBH Holdings Sdn Bhd (GISBH) merangkumi pelbagai peringkat umur bagi jangka panjang dan pendek.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, tindakan diambil antaranya membangunkan pelan tindakan penyediaan bantuan pemulihan akidah dan sosial kepada kanak-kanak GISBH bermula 23 September lalu.

Beliau memberitahu, sehingga kini, seramai 20 guru al-Riqab MAIS terlibat mengajar di rumah kebajikan seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melibatkan 261 kanak-kanak pengikut GISBH.

"Modul khas digunakan dalam proses pemulihan kanak-kanak ini dibangunkan oleh MAIS dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) dan pelaksanaannya bermula pada 1 Oktober.

"Agensi MAIS iaitu Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) turut menyalurkan keperluan asas termasuk keperluan asas ibadah solat untuk kanak-kanak ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Abdul Aziz berkata, kebajikan dan keselamatan pengikut GISBH sentiasa diberi keutamaan dalam memastikan proses pemulihan akidah dan bimbingan agama berjalan lancar.

Ujar beliau, MAIS mempunyai Pusat Pemulihan Majlis iaitu Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman dan Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan berperanan menguruskan perkhidmatan perlindungan bimbingan, pemulihan rawatan spiritual Islam dan kaunseling kepada individu dan kumpulan umat Islam yang memerlukan pemulihan akidah dan akhlak.

Sehubungan itu, katanya, MAIS sentiasa bersedia membantu bekas ahli GISBH sama ada kemasukan secara sukarela atau perintah mahkamah bagi proses pemulihan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, MAIS turut mempunyai 26 rumah pemulihan al-Riqab yang bersedia membantu pemulihan ahli GISBH dengan modul sama.

"Bagi perancangan jangka panjang pula, mereka yang telah mengikuti proses pemulihan, boleh menerima bantuan dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) sama ada untuk tujuan pembangunan sosial, kebajikan, pendidikan dan ekonomi bergantung kepada syarat tertentu," kata beliau.

Menurut Abdul Aziz, MAIS turut menubuhkan jawatankuasa khas terdiri daripada JAIS, Jabatan Mufti Negeri Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), JKM dan agensi berkaitan bagi menyelaras tindakan terhadap GISBH dan rangkaiannya.

"Selain itu, beberapa Jawatankuasa MAIS yang sedia ada iaitu Jawatankuasa Bertindak Ancaman Akidah, Jawatankuasa Pembangunan Keluarga dan Wanita, Jawatankuasa Dakwah, Jawatankuasa Pengawalan Akidah dan Jawatankuasa Riqab turut memainkan peranan masing-masing bagi memperkasa usaha membanteras ajaran sesat, memperkasa usaha dakwah dan proses pemulihan," kata beliau.

Beliau memberitahu, usaha dakwah dan kesedaran melalui Bahagian Dakwah JAIS juga digiatkan bagi memastikan mereka yang di luar sana terus dibimbing dan tidak terjebak dengan ajaran ini.

"MAIS dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kerajaan Selangor dan semua agensi hal ehwal Islam di negeri ini akan terus melaksanakan tindakan bersepadu bagi memastikan sebarang gerakan penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada agama Islam sebenar dibanteras," tegas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!