Bertindak agresif ketika diperiksa, dua wanita warga Indonesia dicekup
JOHOR BAHRU – Dua wanita warga Indonesia gagal melarikan diri daripada diperiksa pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam satu serbuan di Taman Century di sini pada Ahad.
Menurut Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, kedua-dua wanita terbabit yang bekerja di sebuah kedai makan cuba bertindak agresif semasa pemeriksaan namun berjaya ditangkap.
"Kedua-dua wanita berkenaan merupakan antara 29 warga asing yang ditahan dalam Ops Selera yang dijalankan di taman itu dan Kampung Melayu Majidee di sini.
"Operasi yang bermula pada jam 9.30 pagi hingga 10.30 pagi itu dijalankan oleh Bahagian Penguat Kkuasa JIM Johor setelah mendapat aduan berhubung warga asing dipercayai bekerja tanpa pas atau permit yang sah di kawasan berkenaan.
“Dalam operasi ini dua premis dan seramai 62 warga asing serta warga tempatan turut diperiksa,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah Mohd Rusdi, mereka yang ditahan melibatkan enam lelaki dan 22 wanita warga Indonesia serta seorang lelaki Myanmar berusia antara 25 hingga 54 tahun.
Jelasnya, kesemua warga asing yang ditahan melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah.
Mereka juga, disiasat bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa selain Peraturan 17(a) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas sosial.
Selain itu, seorang wanita warga tempatan yang merupakan pemilik restoran di salah sebuah premis ditahan atas kesalahan Seksyen 56(1)(d) kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
Dalam masa sama, sebanyak 10 notis hadir ke pejabat telah dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia bagi membantu siasatan.
Sementara itu Mohd Rusdi berkata, JIM Johor mengesan ramai warga asing yang menyalahgunakan kemudahan dan pas untuk tinggal dan bekerja di negara ini.
"Pihak JIM, tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan serta pemilik premis yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan, pas atau permit kerja yang sah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!