Posmen bawa pulang kereta Volkswagen MK6

Mohd Fakhrul bersama isteri dan anaknya ceria bersama hadiah utama kereta yang dimenangi dalam Karnival Permotoran Temerloh 2.0.
Mohd Fakhrul bersama isteri dan anaknya ceria bersama hadiah utama kereta yang dimenangi dalam Karnival Permotoran Temerloh 2.0.
A
A
A

TEMERLOH - Kunjungan kali pertama ke Karnival Permotoran Temerloh 2.0, 'No Kroni No Select' membawa tuah buat seorang posmen yang membawa pulang kereta model Volkswagen Golf MK6 di sini pada Ahad.

Mohd Fakhrul Feizal Abdul Razak, 39, dari Pekan diumumkan sebagai pemenang utama cabutan bertuah karnival dua hari yang berlangsung di Dataran Temerloh di sini.

Menurutnya, tahun lepas dia dan keluarganya tidak berpeluang hadir ke karnival itu dan tidak melepaskan peluang untuk datang pada tahun ini.

"Ketika nama diumumkan memang agak terkejut kerana dalam ribuan pengunjung yang hadir nombor milik saya iaitu 2758 diumumkan.

"Memang saya, isteri, Norul Bahiah Md Nasir, 34, dan anak, Aisy Safiya, 3, menunggu dengan sabar dan penantian kami berbaloi dengan hadiah ini," katanya kepada Sinar Harian.

Ujarnya, buat masa ini, dia masih belum membuat sebarang keputusan muktamad mengenai kereta tersebut.

"Masih tengah berbincang dengan isteri sama ada pakai untuk kegunaan sendiri atau jual semula," jelasnya bersyukur dengan rezeki tersebut.

Dalam karnival yang bermula Sabtu itu, lebih 20,000 peminat pemotoran membanjiri dataran tersebut yang memasuki tahun kedua penganjurannya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!