Majlis Pengetua Sekolah Malaysia serah 12 resolusi kepada kerajaan

Zambry (kanan) meneliti resolusi yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan kali ke-62 di Bertam pada Isnin.
Zambry (kanan) meneliti resolusi yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan kali ke-62 di Bertam pada Isnin.
A
A
A

KEPALA BATAS - Majlis Pengetua Sekolah Malaysia menyerahkan 12 resolusi penting kepada kerajaan merangkumi pelbagai cadangan untuk memperkasa sistem pendidikan negara.

Resolusi tersebut akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Antara kandungan resolusi tersebut ialah jawatan guru media diwujudkan di semua sekolah, kuarters guru di Sabah dan Sarawak ditambah dan dibaik pulih, kekosongan anggota khidmat pengurusan diatasi dengan segera dan mewujudkan lapisan gred baharu untuk pengetua bagi membolehkan penolong kanan dijadikan pelapis.

Resolusi tersebut yang dihasilkan selepas perbincangan mendalam dan konsultasi bersama warga pendidik dijangka mampu memberikan impak besar dalam usaha meningkatkan kualiti pembelajaran, memperkukuhkan kebajikan guru serta memperkasa prasarana sekolah di seluruh negara.

Zambry berkata, resolusi tersebut bukan berbentuk tuntutan sebaliknya lebih kepada harapan semua warga pendidik khususnya pengetua sekolah.

"Saya akan menyerahkan resolusi yang telah mereka serahkan kepada saya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya melihat, ia bukan berbentuk tuntutan tetapi harapan mereka khususnya termasuk dalam konteks untuk menambahkan lagi kualiti pengajaran, sistem yang ada dalam sekolah yang sekarang ini termasuk juga beberapa skim pengkhidmatan yang boleh dilihat semula.

"Dan itu pun kita akan serahkan bagi kerajaan melihat tentang keperluan-keperluan yang mereka nyatakan," katanya selepas Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan kali ke-62 pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Zambry mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merasmikan majlis yang diadakan di Taman Tema Air Bertam dan Resort di sini.

Tambah beliau, perkara paling penting yang akan diambil perhatian adalah keperluan untuk pembaikan prasarana dan sebagainya.

"Apa yang paling besar ialah kita dapat mengadakan proses timbal balik dengan pengetua kerana mereka adalah golongan pendidik, pengajar dan juga pemimpin di sekolah masing-masing, yang tentunya ada keperluan-keperluan terkini.

"Sama ada keperluan untuk membaikkan prasarana dan sebagainya, yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan. Saya yakin Perdana Menteri akan memberikan kepada perkara-perkara yang berkaitan seperti ini," jelasnya.

Zambry menambah, Anwar amat menitikberatkan perkara asas sekiranya ia melibatkan sekolah-sekolah di negara ini.

"Seperti yang kita sedia maklum, apabila beliau menjadi Perdana Menteri, beliau melihat kepada perkara-perkara asas walaupun kadang-kadang ia dilihat terlalu kecil tetapi dalam konteks sebuah sekolah, seperti dari segi kedudukan tandas dan sebagainya itu, diberikan perhatian awal.

"Ini akan berlanjutan dalam hal-hal yang lain termasuk dalam konteks hubungan di sekolah-sekolah yang diperlukan oleh mereka," katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!