Op Khas Jalmar serampang dua mata buat Maritim Malaysia, Jabatan Laut

Petugas Maritim Malaysia serta Jabatan Laut Malaysia yang terlibat Op Khas Jalmar Selangor menyantuni orang ramai dan pengusaha bot bagi memberi kesedaran secara berterusan. Foto Maritim Malaysia.
Petugas Maritim Malaysia serta Jabatan Laut Malaysia yang terlibat Op Khas Jalmar Selangor menyantuni orang ramai dan pengusaha bot bagi memberi kesedaran secara berterusan. Foto Maritim Malaysia.
A
A
A

KLANG - Sebanyak 44 pemeriksaan dan satu tangkapan dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor bersama Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT).

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kerjasama itu dilaksanakan menerusi Op Khas Jalmar Selangor bermula Jumaat hingga Ahad di sekitar perairan Pelabuhan Klang dan Kuala Selangor.

Abdul Muhaimin
Abdul Muhaimin

Beliau berkata, operasi khas itu bukan sahaja mengeratkan hubungan dua agensi pelabuhan, malah ia turut memfokuskan kepada bot penumpang bagi memberikan kesedaran berkaitan isu keselamatan di laut serta kepentingan peralatan di atas bot.

Selain itu kata beliau, misi operasi turut berusaha memastikan pengusaha dan nakhoda mematuhi syarat-syarat di dalam lesen yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Laut Malaysia.

"Operasi ini bertujuan mendidik dan mengurangkan kesalahan yang dilakukan bot penumpang, di samping menitik berat isu keselamatan di laut agar insiden tidak diingini berlaku.

"Operasi ini melibatkan 48 anggota daripada Maritim Negeri Selangor serta 21 anggota JLWT," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Kerjasama erat ditunjukkan oleh Maritim Malaysia dan Jabatan Laut Malaysia menerusi Op Khas Jalmar Selangor di
sekitar perairan Pelabuhan Klang dan Kuala Selangor yang berakhir pada Ahad. Foto Maritim Malaysia.
Kerjasama erat ditunjukkan oleh Maritim Malaysia dan Jabatan Laut Malaysia menerusi Op Khas Jalmar Selangor di sekitar perairan Pelabuhan Klang dan Kuala Selangor yang berakhir pada Ahad. Foto Maritim Malaysia.

Dalam operasi itu, Abdul Muhaimin berkata, tiga fasa telah diselaraskan merangkumi sesi perkongsian ilmu yang disampaikan daripada pihak JLWT berhubung kesalahan lazim di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan taklimat Operasi Khas Jalmar Selangor.

Selain itu menurutnya, fasa kedua operasi melibatkan pengoperasian di laut yang dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu dengan menggunakan bot Maritim Perkasa 35 dan bot Syahbandar 1 (JLWT).

Tambahnya lagi, bagi fasa kedua, dua kumpulan di darat turut diwujudkan supaya bot-bot penumpang yang berada di jeti diperiksa.

Op Khas Jalmar Selangor bertujuan mendidik dan mengurangkan kesalahan yang dilakukan bot penumpang, di samping menitik berat isu keselamatan di laut. Foto Maritim Malaysia
Op Khas Jalmar Selangor bertujuan mendidik dan mengurangkan kesalahan yang dilakukan bot penumpang, di samping menitik berat isu keselamatan di laut. Foto Maritim Malaysia

"Fasa ketiga adalah majlis perasmian penutup diadakan di Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor yang turut dihadiri oleh Ketua Operasi JLWT, Lim Fung Vui mewakili Pengarah Jabatan Laut Wilayah Tengah," ujarnya.

Abdul Muhaimin berkata, kawasan pemeriksaan bagi operasi kali ini meliputi perairan Pelabuhan Klang, Jeti Southport Terminal dan Jeti Pulau Ketam.

Kawasan pemeriksaan bagi operasi kali ini meliputi perairan Pelabuhan Klang, Jeti Southport Terminal dan Jeti Pulau Ketam.
Foto Maritim Malaysia
Kawasan pemeriksaan bagi operasi kali ini meliputi perairan Pelabuhan Klang, Jeti Southport Terminal dan Jeti Pulau Ketam. Foto Maritim Malaysia

Bagi Perairan Kuala Selangor, katanya, ia melibatkan kawasan tumpuan pelancongan seperti Sky Mirror, NYC Tour Sky Mirror and Sky Mirror Fun Life, Sky Mirror World and Boat Cafe serta jeti utama, Sky Mirror Kuala Selangor.

"Saya berharap hubungan kerjasama antara kedua perkhidmatan ini dapat dipertingkatkan demi memelihara keamanan dan kesejahteraan di perairan Selangor," ujarnya.

Dalam pada itu beliau berkata, sebarang aduan dan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-6606652 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!