Pahang pastikan pembangunan seimbang semua daerah - Exco

Mohamad Nizar (depan, enam dari kiri) bergambar kenangan di hadapan MPT dalam lawatan kerja di Temerloh pada Isnin.
Mohamad Nizar (depan, enam dari kiri) bergambar kenangan di hadapan MPT dalam lawatan kerja di Temerloh pada Isnin.
A
A
A

TEMERLOH - Kerajaan negeri Pahang akan memastikan pembangunan seimbang di negeri itu dan tidak tertumpu pada kawasan-kawasan tertentu sahaja.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi, Inovasi dan Alam Sekitar, Datuk Mohamad Nizar Najib berkata, sebarang limpahan ekonomi diharap dapat dirasai di semua daerah.

Mohamad Nizar (tengah) melihat kayu gaharu yang diproses ketika lawatan ke Taman Industri di Kampung Sempadan dekat Lanchang pada Isnin.
Mohamad Nizar (tengah) melihat kayu gaharu yang diproses ketika lawatan ke Taman Industri di Kampung Sempadan dekat Lanchang pada Isnin.

"Kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar berhasrat untuk memastikan agar pembangunan di Pahang seimbang dan tidak tertumpu pada sesuatu kawasan sebagai contoh seperti Gebeng.

"Seperti di Temerloh, keistimewaannya bakal memiliki stesen ECRL (Laluan Rel Pantai Timur) yang akan membawa kargo dan penumpang," katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja ke Temerloh pada Isnin.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Woo Chee Wan; Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Semantan, Datuk Ridzuan Hazimin Ramli dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Suris Mihat.

Ujarnya, lawatan kerja ke daerah itu bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci dan sahih daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemimpin-pemimpin kawasan.

Pertemuan kakitangan syarikat Asia Honour bersama Mohamad Nizar (tengah) pada Isnin.
Pertemuan kakitangan syarikat Asia Honour bersama Mohamad Nizar (tengah) pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, menerusi maklumat terbabit, kerajaan negeri bersama agensi-agensi kerajaan berkaitan dapat membantu ketika berurusan dengan mana-mana pelabur yang ingin bertapak di Temerloh.

Sementara itu, beliau juga memberitahu kerajaan negeri secara dasarnya berminat untuk membantu syarikat Asia Honour Paper Industries (M) Sdn Bhd yang kini berdepan masalah hingga menyebabkan pemberhentian ratusan pekerja setakat ini.

"Kita tidak akan mengambil alih tapi berminat untuk membantu mereka dengan keupayaan dan kemampuan kerajaan negeri.

"Kita kalau boleh hendak semua kilang dibuka dan diteruskan kerana ia memberikan impak periuk nasi kepada pekerja terlibat yang bertindak sebagai pencari nafkah keluarga," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu, syarikat terbabit juga perlu mencari model perniagaan baharu lebih lestari sekali gus dapat meneruskan operasi mereka.

"Bagaimana pun ketika ini, syarikat ini berdepan cabaran dengan saingan sengit gergasi-gergasi kilang kertas dari China, seluruh dunia selain permintaan pelanggan semakin menurun serta masalah teknikal yang berdepan kos besar," tambahnya lagi.

Selain lawatan ke kilang tersebut, Mohamad Nizar meluangkan masa di pejabat MPT, melawat Taman Industri Perabot di Kampung Sempadan dekat Lanchang serta Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) di sini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!