Kumpulan fokus bantu tambah pendapatan negara

Ahmad Fuad (gambar kecil) berkata, penubuhan tersebut bukan sahaja mampu mengurangkan jenayah rasuah bahkan dapat menyelamatkan wang serta harta negara.
Ahmad Fuad (gambar kecil) berkata, penubuhan tersebut bukan sahaja mampu mengurangkan jenayah rasuah bahkan dapat menyelamatkan wang serta harta negara.
A
A
A

SHAH ALAM - Penubuhan kumpulan fokus bagi tujuan menambah baik Indeks Persepsi Rasuah (CPI) merupakan langkah terbaik yang mampu memulihkan ekonomi dan menambahkan pendapatan negara.

Ahli Jawatankuasa Rasuah Busters Kedah, Ahmad Fuad Ashari berkata, penubuhan tersebut bukan sahaja mampu mengurangkan jenayah rasuah bahkan dapat menyelamatkan wang serta harta negara.

“Saya menyokong penuh perancangan ini kerana ia dilihat mampu memberi impak positif. Secara logiknya kewangan negara kita memang akan terjamin tanpa perlu memikirkan kesan buruk yang berlaku akibat rasuah.

“Enam bidang yang difokuskan dalam kumpulan berkenaan tidak dinafikan mempunyai pengaruh yang sangat besar dan penting terutama kepada pertumbuhannya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini, kumpulan fokus yang baharu ditubuhkan untuk memberi tumpuan kepada enam bidang tersebut diterajui oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Kementerian Kewangan dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Menurut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, enam bidang yang difokuskan adalah penguatkuasaan, pengurusan dana awam, komunikasi strategik, daya saing perniagaan, risiko pelaburan dan perundangan.

Dalam pada itu, Ahmad Fuad berkata, usaha negara untuk membanteras isu sogokan sehingga mencapai ranking CPI tangga ke-25 teratas dunia menjelang tempoh 10 tahun, tidak mustahil dicapai tetapi memerlukan usaha berpanjangan daripada pelbagai pihak.

“Bukan mudah untuk membendung gejala rasuah tetapi ia boleh dilakukan jika adanya kemahuan yang besar untuk berubah.

Artikel Berkaitan:

“Kita faham bahawa Malaysia kini ke arah sifar rasuah, jadi kena ingat semuanya harus bergerak secara berkumpulan dan mendapat sokongan padu daripada semua pihak termasuk kerajaan hingga ke agensi-agensi yang berkaitan,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!