Emma Maembong kembali solo, positif hadapi perpisahan
TIADA angin, tiada ribut, aktres berdarah kacukan, Emma Maembong mengakui sudah bercerai dengan bekas suaminya, Muhammad Shazli Azhar secara baik.
Bahkan Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, 32, sudah selesai menjalani tempoh idah dan seboleh-bolehnya enggan mendedahkan perkara itu kepada umum.
“Ya kami sudah bercerai dan saya sudah tamat tempoh idah.
“Saya sebolehnya cuba menutup kisah peribadi saya. Bagi saya, perpisahan ini bukan satu berita yang patut dibanggakan dan sebab itu saya mengambil langkah berdiam diri dan tidak bercerita kepada orang luar atau buat sebarang pengumuman,” katanya kepada media.
Tambah Emma, demi kesejahteraan dua putera mereka iaitu Shariq Gabriel, 3, dan Shakil Aryan Shah, 17 bulan, dia dan bekas suami masih berhubungan baik.
Bahkan dia dan Shazli reda dengan ujian yang berlaku dalam perkahwinan mereka.
“Saya akui perkahwinan ini bukan satu perjalanan yang mudah. Banyak dugaan yang perlu ditempuh. Masing-masing terima perceraian ini dengan berlapang dada dan matang.
“Kami juga anggap dugaan ini sebagai satu proses untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik.
“Fokus kami sekarang adalah membesarkan anak dengan sepenuh kasih sayang. Walaupun sudah tidak bersama, kami akan tetap buat aktiviti keluarga bersama-sama dengan dua cahaya mata kami,” katanya.
Emma dan Shazli mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2020. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!