‘Kami masih berada di awal musim’

Mendes. Foto Agensi
Mendes. Foto Agensi
A
A
A

PENGENDALI Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique seolah-olah tidak terkesan selepas Les Parisiens meraih keputusan seri 1-1 ketika bertandang ke Allianz Riviera menentang Nice dalam aksi Ligue 1.

Keputusan dilakar PSG itu menyaksikan anak buah Enrique menempatkan diri di kedudukan kedua dengan 17 mata, dua di belakang pendahulu AS Monaco.

“Kami masih berada di awal musim. Permulaan yang kelihatan menjanjikan sesuatu amat-amat positif kepada saya.

“Ya, saya suka dengan apa yang dilihat yakni permulaan yang jauh lebih baik daripada musim lalu,” kata pengendali berusia 54 tahun kelahiran Gijon, Asturias yang memulakan karier bola sepak bersama Sporting de Gijon

Skuad Enrique sebelum itu bergelut mencari rentak menentang Les Aiglons bimbingan Franck Haise walaupun menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua.

Gol dijelmakan minit ke-52 hasil jaringan Nuno Mendes yang memadamkan jaringan awal Ali Al-Abdi minit ke-38.

Mengulas mengenai corak permainan dalam perlawanan tersebut, Enrique merasakan pemain-pemain telah melakukan beberapa kesilapan.

“Terdapat tahap ketidaktepatan daripada kebanyakan pemain yang tidak biasa dan banyak tindakan teknikal yang sangat mudah, hantaran mudah, situasi yang biasa kami selesaikan, jumlah kesilapan luar biasa yang sangat tinggi,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Enrique berbangga dengan reaksi pemainnya selepas separuh masa pertama.

“Saya sangat bangga apabila pemain-pemain berjaya mengharungi separuh masa pertama yang teruk.

“Saya bangga dengan semangat mereka menumpukan perhatian pada permainan, dalam usaha mengubah permainan.

“Gred hanya akan diberikan penghujung musim. Apabila musim tamat kita akan lihat gred. Yang penting adalah untuk memenangi liga. Perkara yang paling penting ialah untuk bersaing untuk semua gelaran,” katanya tambah.

PSG menentang Strasbourg dalam Ligue 1 pada 20 Oktober sebelum menjamu kehadiran kelab liga Belanda, PSV Eindhoven dalam Liga Juara-Juara tiga hari kemudian diikuti menerima kunjungan Olympique de Marseille.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!