Sekolah tinggi Kuen Cheng nafi video pelajar maut dibuli
KUALA LUMPUR - Pejabat pengetua Sekolah Tinggi Kuen Cheng di sini menjelaskan dua video tular mendakwa seorang pelajar perempuan maut disebabkan terjatuh dari bangunan sekolah akibat dibuli, sama sekali tiada kaitan dengan sekolah itu.
Dalam kenyataan hari ini pejabat pengetua sekolah berkenaan memaklumkan pelajar perempuan tidak dikenali yang tertera dalam video itu bukan pelajar Sekolah Tinggi Kuen Cheng manakala lokasi video itu dirakam juga tidak diketahui.
"Kami telah membuat laporan rasmi kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pihak Sekolah Tinggi Kuen Cheng juga menggesa orang awam melihat perkara itu secara rasional, berhati-hati dan menghentikan penyebaran maklumat yang tidak sahih bagi mengelak kebimbangan dan salah faham yang tidak berasas,” katanya.
Menurut kenyataan itu Sekolah Tinggi Kuen Cheng berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang menyebarkan berita palsu mengenai sekolah itu.
Media melaporkan pada 2 Oktober lepas bahawa seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun maut akibat terjatuh dari beberapa tingkat bangunan sekolah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!