Provokasi Sabah, Sarawak keluar Malaysia: Kerajaan digesa ambil tindakan tegas
SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang menimbulkan provokasi 'Sabah, Sarawak keluar Malaysia' yang berlaku di Australia, 16 September lalu.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, tindakan tersebut boleh menggugat perpaduan rakyat yang hidup harmoni termasuk di kedua-dua negeri itu.
"Ini bukanlah kali pertama gerakan dan desakan seumpama ini berlaku. Saya bimbang semakin lambat tindakan tegas diambil, kesalahan ini mampu meluaskan pengaruh pemikiran bahawa Sabah dan Sarawak dijajah oleh Semenanjung, seterusnya membawa kepada desakan keluar dari Persekutuan Malaysia.
"Kita tidak boleh mengambil mudah tindakan provokasi walaupun sesetengah pihak menganggap perkara ini tidak serius dan agak 'mustahil' untuk berlaku," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.
Sebelum ini media melaporkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka kertas siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penularan video memaparkan Jalur Gemilang diturunkan sebelum diganti bendera Sabah dan Sarawak.
Razarudin berkata, hasil siasatan awal mendapati insiden itu berlaku di Melbourne, Australia pada 16 September lalu, kononnya sebagai simbolik penamatan ‘penjajahan’ Malaysia ke atas kedua-dua negeri itu serta menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai republik.
Dalam pada itu Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian turut menggesa kerajaan bertindak pantas terhadap mana-mana rakyat Malaysia yang berkempen serta berusaha mempromosi gerakan mendesak Sabah dan Sarawak untuk keluar dari Persekutuan Malaysia.
"Walaupun kumpulan pendesak tidak bertapak di negara ini, namun pastinya doktrin ditanam oleh rakyat Malaysia sendiri atau yang mempunyai hubungkait dengan Malaysia.
"Kerajaan harus segera dan tegas dalam mengambil tindakan seperti mana yang dilakukan terhadap kumpulan Al-Maunah yang telah didakwa kerana menentang Yang di-Pertuan Agong," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!