Jejantas ikonik selamat dialihkan

Semua struktur jejantas dialihkan dalam operasi malam tadi.
Semua struktur jejantas dialihkan dalam operasi malam tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Jejantas berusia 45 tahun di Pengkalan Weld yang rosak selepas dirempuh treler petang semalam selamat dialihkan dalam operasi yang dijalankan malam tadi.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang berkata, dalam operasi yang dijalankan sepanjang malam tadi kesemua struktur jejantas dialihkan kerana keadaannya tidak selamat.

Yew Tung Seang
Yew Tung Seang

Menurutnya, jalan dari Bulatan Imigresen, Jalan Tun Syed Sheikh Barakbah/Persimpangan Jalan Padang Kota Lama sehingga ke Jeti Tan yang ditutup sejak petang semalam telah dibuka sepenuhnya pada jam 11 pagi tadi.

"Jejantas ikonik itu terpaksa dialihkan sepenuhnya selepas kita mendapati ia tidak selamat digunakan selain sudah tidak boleh dibaiki lagi. Kejadian semalam merugikan kita kerana jejantas ini adalah monumen bersejarah.

"Selain itu, ia juga merupakan kemudahan untuk pejalan kaki. Bagaimanapun kita terpaksa mengalihkannya segera kerana bimbang dengan keadaannya yang tidak selamat. Kita juga bekerja keras membersihkan jalan raya sepanjang malam tadi sebelum jalan dibuka sepenuhnya pagi ini," katanya ketika mengadakan sidang media bersama Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jagdeep Singh Deo di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) tadi.

Tung Seang berkata, pihaknya sedang bertungkus-lumus membuat lintasan pejalan kaki dan lampu isyarat di lokasi tersebut bagi memudahkan pejalan kaki melintas jalan.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Treler bawa jentera berat rempuh jejantas

"Jalan Pengkalan Weld merupakan salah satu jalan yang sangat sibuk. Oleh itu, kita mengambil langkah sementara dengan membuat garisan untuk pejalan kaki dan lampu isyarat. Ia membolehkan pejalan kaki menyeberangi jalan yang sibuk untuk ke terminal feri.

Artikel Berkaitan:

"MBPP akan mempertimbangkan untuk membina jejantas baru namun buat masa ini, apa yang amat penting adalah dengan membuat lintasan pejalan kaki bersama lampu isyarat dahulu bagi kemudahan pejalan kaki," katanya.

Beliau berkata, MBPP sedang mengumpul kesemua kos termasuk pengalihan jejantas, kerosakan dan kos pembinaan semula jejantas sebelum tuntutan dibuat terhadap pihak bertanggungjawab.

"Kita akan menuntut kesemua kos berkaitan kepada pihak bertanggungjawab yang terlibat dengan insiden semalam. Sebagai pemilik kepada jejantas tersebut, MBPP telah membuat laporan polis agar siasatan dapat dijalankan terhadap pemandu treler terbabit," katanya.

Sementara itu, Jagdeep berkata, MBPP sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan saman sivil terhadap syarikat berkenaan.

Katanya, tuntutan yang dibuat akan merangkumi semua kerugian, ganti rugi dan kos berbangkit yang perlu MBPP tanggung akibat kejadian itu.

Ditanya sama ada MBPP akan membina jambatan pejalan kaki baharu atau tidak, Jagdeep berkata, kerajaan negeri mempunyai projek Teluk Bay keseluruhan yang meliputi kawasan itu.

"Kami mempunyai pelan induk yang lebih besar untuk keseluruhan kawasan supaya kami melihat ini di bawah projek itu," katanya.

Jejantas setinggi lima meter itu dibina pada 1975 dan ia merupakan jejantas pejalan kaki pertama dibina di Pulau Pinang.

Kos pembinaannya mencecah RM180,000 dengan 105 kaki panjang, sembilan kaki lebar dan seberat 20 tan.

Terdahulu dalam kejadian petang semalam, sebuah treler yang membawa muatan jentera berat dengan melebihi paras ketinggian telah merempuh sebuah jejantas di Jalan Pengkalan Weld di sini.

Kejadian berlaku di hadapan Terminal Feri Pangkalan Raja Tun Uda kira-kira jam 4.15 petang ketika treler dari Tanjung Bungah itu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Pemandu treler berusia 30 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut namun dia tidak mempunyai rekod jenayah selain ujian saringan air kencing juga negatif.

Tiada kemalangan jiwa atau melibatkan kecederaan mangsa dilaporkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!