Pasangan berpisah elak londeh aib, mengungkit

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SELEPAS kes penceraian Fazura dan Fattah Amin hangat diperkatakan masyarakat hari ini, seorang lagi pelakon tampil menjawab dakwaan bahawa rumah tangganya juga berakhir.

Pelakon drama Takdir Itu Milik Aku, Emma Maembong mendedahkan, beliau sudah bercerai dengan suaminya, Muhammad Shazli Azhar dan kini telah tamat tempoh idah.

Sebelum ini status rumah tangganya menjadi bualan di forum gosip, namun pelakon jelita itu memilih pendekatan berdiam diri dan tidak mahu mengeruhkan keadaan.

Dua kisah ini menjadi perbualan di media sosial yang membandingkan perjalanan kes cerai selebriti terlibat.

Tidak kurang juga yang menjadi 'juri' terhadap pendedahan yang disebarkan warga maya.

Namun yang perlu diberi perhatian adalah nasihat serta peringatan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengenai ajaran Islam tentang menjaga aib dalam rumah tangga.

Beliau berkata, agama mengajar untuk setiap pasangan melihat kebaikan dan mengingati jasa sepanjang perkahwinan.

Artikel Berkaitan:

Pasangan yang berpisah digalakkan untuk mengelak daripada mengungkit keaiban atau kekurangan pasangan.

Ini kerana menurutnya, ketika cinta masih ada, segala kekurangan tidak dihiraukan, namun ketika perasaan berubah, kekurangan kecil sekali pun menjadi hal yang diangkat-angkat.

Nasihat ini tidak hanya kepada mereka yang bergelar pasangan, adab sebagai orang Islam juga mengajar kita perkara sama.

Sebagai manusia, pasti tidak ada kesempurnan tetapi usaha untuk menjadi insan yang lebih baik menjadi keutamaan.

Elakkan menjadi punca 'melondehkan' aib sesama sendiri kerana ia boleh mendatangkan mudarat kepada orang sekeliling.

Jagalah aib sesama manusia dan sentiasa berusaha untuk menjadi orang yang mahu memperbaiki diri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!