Belanjawan 2025: Penjaja, peniaga kecil harap bantuan khas bencana alam
MELAKA - Peniaga dan penjaja kecil di negeri ini berharap kerajaan mempertimbangkan pelbagai aspek kebajikan terutama ketika berdepan kerugian akibat bencana alam.
Penjual sayur dan ikan, Norhayati M P Maricar, 57, berkata, menerusi pembentangan Belanjawan 2025 diharap dapat membantu penjaja kecil berdepan bencana alam.
Menurutnya, kerap didengari bantuan khas disalurkan kepada mangsa-mangsa yang rumah mereka ditimpa bencana seperti banjir, namun jarang diberikan bantuan kepada peniaga yang turut terjejas dalam bencana tersebut.
"Saya mencadangkan perlu ada bantuan khas bencana untuk peniaga, sebab jika banjir berlaku kami tiada pelan sokongan lain untuk meneruskan perniagaan.
"Contoh kedai saya yang menjual barangan runcit dan basah terpaksa berdepan kerugian sehingga RM50,000 sebab banjir di kawasan ini berlaku setiap tahun," katanya yang berniaga di Lubok China.
Tambahnya, biarpun terdapat bantuan khas banjir yang disalurkan kerajaan negeri, namun kerajaan perlu mencari jalan bagi meringankan sedikit kerugian yang terpaksa ditanggung golongan ini akibat bencana alam.
"Kami tahu bencana alam berlaku tanpa diduga, namun sekiranya ada bantuan dapat meringankan beban sekali gus mengekalkan punca pendapatan utama kami," katanya lagi.
Pendapat yang sama turut diluahkan seorang penjaja makanan yang mencadangkan aspek kebajikan terutama bantuan dari sudut fasiliti dan kemudahan peniaga kecil diperluaskan lagi.
Nur Aleya Sara Dahari, 22, yang telah lebih setahun menjual makanan berkata, dalam usaha menggalakkan lebih ramai peniaga, kerajaan juga perlu menambah dan memperluaskan pelbagai jenis bantuan kepada mereka terutama golongan muda yang menceburi sektor itu.
Menurutnya, dengan kudrat seorang wanita sukar sebenarnya untuk membuka dan menutup khemah niaga selain mengemas barang-barang perniagaan lebih -lebih lagi jika perubahan cuaca seperti ribut.
"Seperti peniaga tepi jalan saya harap aspek kebajikan seperti pembangunan fasiliti diberikan tumpuan kepada kami sebab ia memang memerlukan.
"Ini termasuk cadangan menyediakan kemudahan kiosk-kiosk buat peniaga kecil supaya ia lebih teratur dan selamat," katanya.
Sementara itu, peniaga makanan, Siti Noradeilla Mohd Sufian, 25, mencadangkan selain menumpukan kebajikan kerjaaan diharap dapat menyediakan insentif khas buat peniaga bagi mendapatkan barangan keperluan asas mereka dengan harga yang berpatutan.
Menurutnya, ini kerana peniaga kecil sering berdepan dengan isu pembekalan minyak masak disebabkan mereka perlu membeli minyak botol yang agak mahal berbanding minyak paket bersubsidi yang dikhaskan untuk kegunaan isi rumah.
"Jika kami disyaki menggunakan minyak masak paket sudah tentu kami akan dikenakan tindakan.
"Namun hakikatnya inilah dilema peniaga kecil sebab perlu mengeluarkan modal lebih untuk membeli minyak masak botol yang dijual dengan harga agak mahal," katanya.
Jelasnya, kerajaan menerusi kementerian terlibat perlu menyediakan inisiatif untuk peniaga kecil dalam aspek pembekalan barangan mentah.
"Sebab inilah antara kekangan yang kami hadapi disebabkan faktor kekurangan barangan ini dijual di pasaran.
"Harap belanjawan akan datang benar-benar dapat memperkasakan peniaga kecil untuk meneruskan kelangsungan hidup," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!